Tangkap layar muzik video Syed Saddiq menari bersama Namewee

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman muncul dalam muzik video penyanyi rap yang juga pengarah filem kontroversi Namewee.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Muar kelihatan dalam beberapa adegan termasuk menari bersama-sama Namewee dalam video yang memaparkan lagu bertajuk ‘Katak’.

Dalam adegen pertama iaitu pada minit ke 2:59 hingga 3:02 Syed Saddiq berada di dalam sebuah kedai makan dan ketika itu muncul tujuh lelaki lengkap bersut hitam dan bertali leher.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu kemudiannya memandang lelaki-lelaki itu dengan rasa hairan.

Syed Saddiq muncul lagi dan kali ini dia menari bersama-sama tujuh lelaki terbabit.

Ahli Parlimen Muar itu muncul bersama-sama dengan Namewee pada minit ke 3:06 hingga minit 3:08 dan 3:12 hingga 3:14.

Dalam adengan itu, Syed Saddiq menari dengan rancak di samping Namewee.

Ahli Parlimen Muar itu muncul semula pada akhir video dengan menyampaikan ucapan bertemakan katak.

“Katak adalah haiwan yang dilindungi di Malaysia. Mereka mempunyai IQ yang sangat tinggi. Sangat pandai melompat. Mempunyai banyak kolagen.

“Dan yang paling penting mereka ini mahal, kaya. Di bawah jagaan negara kita selama bertahun-tahun, katak mengawan tanpa henti. Membiak dengan cepat. Dan bilangannya semakin meningkat.

“Semua orang mesti akui di Malaysia katak adalah khazanah negara kita. Sila ikut saya dengan melaungkan slogan hidup katak! Hidup katak! Hidup katak!” kata Syed Saddiq.

Muzik video tersebut yang dimuat naik sejak 12 Ogos lalu dipercayai ditujukan kepada ahli-ahli politik yang ‘melompat’ parti.

Namewee yang merupakan anak Johor pernah mengarahkan filem bertajuk Babi.

Bagaimanapun, beberapa pihak mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap beliau kerana mendakwa filem yang ditayangkan di luar negara itu didakwa mencalarkan imej serta maruah negara.

Poster filem Babi

Filem Babi yang ditayangkan di Taiwan pada 20 November 2020 itu berkisarkan kejadian keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia.

Babi mencetuskan kontroversi selepas poster filem itu mengandungi perkataan ‘Melayu Bodoh’, ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’. – MalaysiaGazette