Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Belum habis lagi dengan skandal perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS), Ahli Parlimen Muar membongkar satu lagi ketirisan didakwa berlaku membabitkan Meriam Slef Propelled Howitzer (SPH) yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan.

Status berkenaan dimuat naik oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam laman Facebook peribadinya hari ini.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mendedahkan perkara itu mendakwa perolehan SPH telah diluluskan Kementerian Kewangan dan infrastruktur dilakukan secara rundingan terus dengan syarikat MA Aanalytics Sdn.Bhd yang sepatutnya melalui proses tender terhad.

“Belum habis lagi dengan skandal Kapal LCS, kali ini skandal Meriam Self Propelled Howitzer (SPH) pula..Kalau tengok surat ini, patutnya bagi tender ini secara terhad. Eh, tiba-tiba boleh jadi runding terus. Pelik bin Ajaib!.

“Kali ini, MINDEF tak bagi tapi MOF senang-senang bagi rundingan terus..Macam sama dengan skandal LCS ini, saya gesa MOF jawab isu yang timbul ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Status FB Syed Saddiq yang mendakwa berlaku satu lagi skandal membabitkan perolehan aset pertahanan iaitu Meriam SPH.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq mempersoalkan kerajaan kenapa projek yang sepatutnya diberi tender terhad menjadi rundingan terus.

Sebagai menyokong isu yang dibangkitkan itu, bekas Menteri Belia dan Sukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan itu turut melampirkan bersama dua keratan surat yang dipercayai permohonan kelulusan khas kepada Kementerian Pertahanan dan juga keratan kedua membabitkan surat permohonan menyegerakan keputusan cadangan kepada Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob dalam perolehan meriam tersebut.

Dua surat berkaitan pemberian tender perolehan aset Meriam SPH oleh kerajaan kepada syarikat swasta dilampirkan oleh Syed Saddiq dalam status Facebook rasminya hari ini.Sumber FB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Dalam perkara berkaitan SPH, Syed Saddiq meminta jawapan segera kerajaan atas kapasti apa MA Analytics diberikan tender tersebut.

“Berapa kali kita nak gadaikan keselamatan dan kedaulatan negara kita? Balik-balik duit rakyat juga kena jarah. Berapa banyak? RM854 juta! Yang kaya mereka, rakyat merana….MOF kena jawab! Rakyat berhak untuk tahu!” katanya.

Perkongsian lampiran surat itu disukai seramai lebih 1,0000 warga Facebook dan 71 orang membuat perkongsian serta menerima 335 komen untuk status tersebut setakat pukul 7 malam tadi. – MalaysiaGazette