Noraini pada Majlis Menandatangani Persefahaman dan Nota Kerjasama Antara Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan SPR bagi memperkasa Pendidikan Undi 18 di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Pelajar (Undi 18) akan ditubuhkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil-wakil Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) daripada 20 buah universiti awam, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Akademi Pilihan Raya (APR), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Bahagian Mahasiswa Holistik manakala Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) selaku urus setia.

“Fungsi utama Jawatankuasa ini adalah sebagai platform bagi pihak KPT, UA serta APR dan SPR membincangkan berkenaan dengan pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang melibatkan pelajar IPTA,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Persefahaman dan Nota Kerjasama Antara Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan SPR bagi memperkasa Pendidikan Undi 18 di Putrajaya hari ini.

Majlis yang sama turut dihadiri Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Saleh.

Menurut Noraini, jawatankuasa itu juga bertanggungjawab melihat keberkesanan pelaksanaan program yang telah dirancang dan seterusnya mencadangkan mekanisme yang sesuai bagi menambah baik pelaksanaan program tersebut.

“Insya-Allah, dengan pewujudan tadbir urus yang jelas ini,
sasaran pelaksanaan program-program pendidikan pengundi kepada pelajar IPTA serta hasrat untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dapat dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini juga berharap pelaksanaan program-program pendidikan pengundi ini juga akan diperluaskan kepada
Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast