PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini akan memutuskan sama ada menerima permohonan Datuk Seri Najib Razak yang mahu memasukkan bukti baharu dalam kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Antara bukti itu termasuklah peranan hakim bicara kes penyelewengan dana SRC, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Invesment sebelum ini.
Peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, Hisyam Teh Poh Teik dijangka membalas hujahan balas pihak pendakwaan pagi ini.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram mendakwa, mahkamah perlu menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu yang cuba memesongkan perbicaraan ini.
Selain itu dakwa Sitahmbaram, bukti tambahan ini juga adalah cubaan untuk pembelaan menyiasat konflik kepentingan yang melibatkan Mohd Nazlan.
Bagaimanapun, Hisyam seperti sudah ‘bersedia’ membalas kembali setiap dakwaan yang dilontar oleh pendakwaan.
Malah, Hisyam telah memohon penangguhan semalam bagi membolehkan beliau berhujah pagi ini.
Ketika ditemui media petang semalam, Hisyam berkata, beliau akan menjawab semua dakwaan itu dengan fakta kelak.
Untuk makluman, sekiranya permohonan Najib diterima oleh lima panel hakim yang diketuai oleh Hakim Negara, Tun Maimunah Tuan Mat, maka pendengaran rayuan akhir ini kemungkinan besar akan ditangguh.
Jika tidak, prosiding akan bersambung sembilan hari seperti ditetapkan.
Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah menyeleweng dana SRC sebanyak RM42 juta oleh Mohd Nazlan dan dijatuhkan hukuman hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Najib diwakili peguam Hisyam , Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M. Rueben.
Manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Pendakwa Raya ad hoc Sithambaram dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.
Prosiding di jangka bermula pada bila-bila masa selepas jam 9.30 pagi ini. -MalaysiaGazette