Pengunjung mengambil peluang membeli benih pokok durian Musang King yang dijual dengan harga yang berpatutan pada pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 OGOS 2022.

TINDAKAN kerajaan untuk menaikkan kadar polisi semalaman (OPR) pada 11 Mei dan 6 Julai tahun ini adalah langkah untuk mengawal inflasi ketika tempoh pasca pandemik di negara ini. Memetik kata pakar ekonomi UOB Global Economics and Markets Research, Julia Goh yang menyifatkan tindakan BNM itu adalah wajar kerana mengekalkan kadar OPR yang rendah untuk jangka masa yang panjang adalah tidak baik untuk kestabilan kewangan negara disamping ia merupakan tindakan yang amat berisiko.

Kenaikan OPR tersebut diambil setelah melihat pengukuhan yang berlaku di pasaran buruh negara, pengurangan kadar pengangguran serta jangkaan pelan pemulihan ekonomi yang sedang berlaku. Walau bagaimanapun, terdapat juga pakar ekonomi yang melihat fenomena tersebut bakal mengundang ketidaktentuan ekonomi serta kebimbangan kemelesetan ekonomi.

Menurut data Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), Malaysia mencatatkan kenaikan inflasi sebanyak 3.4 peratus pada Jun tahun ini. Ia disumbangkan ialah inflasi pada harga makanan yang diikuti dengan sekotor pengangkutan serta hotel dan restoran.

Ia dilihat lebih baik berbanding Amerika Syarikat yang mencatatkan inflasi sebanyak 9.1 dalam tempoh setahun bermula Jun tahun lepas. Malaysia dilihat lebih bernasib baik berbanding Argentina yang berhadapan dengan inflasi sebanyak 60 peratus sehingga memaksa menteri ekonomi negara tersebut meletak jawatan.

Antara faktor yang menyumbang kepada inflasi yang rendah adalah:

1. Dasar polisi fiskal yang diamalkan kerajaan terutama dengan menaikkan OPR (kadar polisi semalaman) yang menyasarkan agar wang yang berlegar di dalam ekonomi dikurangkan, serta dilebihkan pada usaha yang lebih produktif.

2. Dasar subsidi kerajaan kepada beberapa item asas seperti ayam dan beras yang menyumbang kepada pengawalan CPI (indeks harga pengguna) pada barang tertentu. Sekalipun terdapat kenaikan mendadak pada sesetengah barangan seperti minyak masak yang merekodkan kenaikan berganda berbanding CPI seperti item minyak masak dan telur, tetapi ia diimbangi dengan pengawalan harga barang asasi yang lain.

3. Usaha jihad melawan inflasi yang melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan kerajaan.

4. Keadaan ekonomi negara yang tidak terkesan teruk pada semua sektor akibat pandemik Covid-19.

5. Aliran kewangan yang dilihat kukuh juga menggambarkan fungsi penguatkuasaan badan serta agensi berkenaan menunjukkan kesan yang positif.

Ini bukanlah bermakna kita perlu merasa selesa dengan keadaan yang berlaku.

Tindakan-tindakan wajar yang lain juga perlu dipergiatkan oleh semua pihak. Selain itu, tindakan yang tidak responsif adalah antara faktor terbesar menyebabkan beberapa krisis ekonomi seperti krisis subprime mortgage dan krisis ekonomi Greece yang berpunca dari tindakan ‘menyembunyikan’ atau menafikan.

Mengambil iktibar dari pandangan seorang tokoh fikah, perundangan serta pemikiran ekonomi Islam terkenal iaitu al-Imam Muhammad Hasan al-Syaibani (w. 189 H) yang telah mengarang kitab al-Kasb, bermaksud ‘penghasilan’, beliau menekankan tiga penghasilan yang perlu dititik beratkan di dalam sebuah negara atau masyarakat, iaitu pertanian yang membekalkan makanan, perniagaan yang merancakkan aktiviti pasaran serta pembinaan yang menghasilkan barangan serta produk.

Idea beliau mengenai pertanian dan makanan itu dilihat amat relevan sehingga kini kerana krisis harga dan bekalan hari ni banyak tertumpu kepada makanan dan yang bersangkut paut dengannya.

Bernama juga mencadangkan di dalam laporan pada 13 Jun yang lepas mengenai jalan keluar kepada konflik ini ialah dengan mempergiatkan usaha pelaburan dan penyelidikan di dalam sektor pertanian dan makanan di negara ini bagi mewujudkan kelestarian pembekalan negara di negara ini.

Laporan ini juga mengambil contoh sebuah syarikat tempatan di Qatar, Baladna yang berjaya menjadikan negara itu mandiri di dalam bekalan daging kambing sehingga mampu mengeksport lebihan ke luar negara.

Tidak dinafikan krisis peperangan Ukraine Rusia juga menyumbang kepada inflasi yang berlaku. Namun, sekiranya para pelabur memberikan fokus pelaburan mereka ke sektor ini, ia berkemungkinan dapat membantu negara ini ketika berhadapan masalah seperti ini.

 

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya