ATHENS – Sekumpulan 38 pendatang, termasuk seorang wanita yang sarat mengandung, telah ditemui terdampar di sebuah pulau kecil yang tidak dinamakan di sepanjang sempadan Turki-Greek.
Mereka terdiri 22 lelaki, sembilan wanita dan tujuh kanak-kanak itu telah berada di pulau kecil Sungai Evros sejak pertengahan Julai.
Pendatang ini dikatakan bersembunyi di wilayah Greece selepas menyeberangi sungai dari Turki.
Selepas ditemui pada hari Isnin, mereka dibawa ke Greece.
Menteri Migrasi Greece, Notis Mitarachi berkata, kumpulan itu semuanya dalam “keadaan sangat baik” dan wanita hamil itu telah dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagaimanapun, seorang kanak-kanak maut di pulau kecil itu, yang terletak berhampiran bandar Lavara, Greece, menurut kumpulan dan agensi hak asasi manusia.
Agensi bantuan dan laporan media berkata, kanak-kanak Syria itu menyertai ibu, bapa dan adik perempuannya dan meninggal dunia akibat sengatan kala jengking.
Polis Greece masih belum mengesahkan perkara ini.
Mitarachi yang melawat wilayah Evros pada hari Selasa berkata, walaupun beliau tidak dapat mengesahkan kematian kanak-kanak itu, Kerajaan Greece akan bekerjasama dengan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa untuk mengebumikannya.
Setakat ini belum dapat dipastikan kedudukan sebenar pendatang itu – sama ada di Turki atau Greece supaya pihak bertanggungjawab dapat memberi bantuan.
Pihak berkuasa Greece pada mulanya berkata, pendatang itu mendakwa mereka dari Syria.
Mereka ditemui kira-kira 4km (2.4 batu) di selatan koordinat di luar wilayah Greece ketika dilaporkan beberapa hari lalu.
Menurut media dan aktivis, pendatang itu cuba sampai ke Greece tetapi telah ditolak.
Baida, salah seorang wanita dalam kumpulan itu, menyifatkan mereka dilayan seperti “permainan bola sepak antara kedua-dua pihak” – Turki dan Greece.
“Tiada siapa yang mahu kami. Tiada siapa yang mendengar kami. Tiada siapa yang mahu membantu,” tambahnya.
Layanan Greece terhadap pendatang yang cuba tiba di Eropah dari Turki telah diketengahkan sejak beberapa tahun lalu.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa beribu-ribu orang yang mencari suaka telah ditolak sebelum diberi peluang untuk membuat permohonan.
Ia juga menyebabkan perbalahan dalam Kesatuan Eropah selepas seorang pegawai kanan mendakwa Greece telah melanggar hak asasi Eropah.
Beberapa pelarian berkata, mereka telah dipulangkan secara paksa ke perairan Turki.
Kerajaan Greece sentiasa menafikan dakwaan ini dan menegaskan ia mematuhi undang-undang Eropah dan antarabangsa.
Insiden di sungai Evros ini “menyerlahkan kekejaman” yang berlaku, kata Dimitra Kalogeropoulou, pengarah Greece bagi Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa.
Antara Januari dan Jun 2022, 232 rakyat Syria tiba di Greece melalui laut, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – BBC