Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan berikutan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tiada satupun daripada enam kapal tempur pesisir (LCS) dapat disiapkan dalam kontrak projek bernilai RM6.083 bilion.

Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, cadangan tersebut bagi menyelamatkan industri pertahanan negara daripada terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan pada masa depan.

Berikutan itu, beliau mencadangkan kerajaan memanggil satu sidang khas Parlimen supaya wujud kerjasama bipartisan mencari jalan tengah dan menentukan hala tuju dunia ketenteraan di negara ini.

“Ini kerana apa-apa perancangan berkaitan ketenteraan perlu ada semua parti dan ia tak boleh hanya bertempoh masa pendek kerana kerajaan sering bertukar-tukar, berbilion ringgit melangkaui satu penggal tetapi dengan adanya sidang khas, bukan hanya untuk tuding jari tetapi juga kita buat satu kertas putih untuk dibentangkan.

“Walaupun perubahan kerajaan berlaku di masa akan datang tetapi dalam bab ketenteraan perbelanjaan yang cekap dan adil dapat dijalankan tidak kira siapa menteri pertahanan nanti,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau bersama aktivis dan peguam, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim merupakan antara 10 individu yang hadir di IPD itu untuk dirakam keterangan oleh polis berkaitan protes ‘Mana Kapal LCS’ yang diadakan pada Ahad lalu di hadapan sebuah pusat beli belah di ibu negara.

Kira-kira 40 minit kemudian kesemua mereka dilihat meninggal IPD Dang Wangi selepas selesai memberi keterangan kepada polis dengan ditemani peguamnya, Raj Surian Pillai.

Pada 4 Ogos lalu, PAC mendedahkan tiada satupun LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022.

Pada 11 Ogos lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

Selain itu, Syed Saddiq juga mahu kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) disusuli dengan pendakwaan ke atas mereka yang mendalangi skandal tersebut.

Menurut beliau, walaupun Muda menentang penyelewengan dalam ketenteraan, ia tidak bermakna pihaknya ingin merampas hak Angkatan Tentera Malaysia memiliki peralatan canggih.

Tambah beliau, kerajaan perlu fokus agar setiap sen yang diperuntukan dibelanjakan dengan baik. – MalaysiaGazette