KUALA LUMPUR – Rumah mampu milik yang asalnya dibina untuk membantu golongan B40 memiliki rumah, akhirnya terlepas ke dalam pasaran bebas sebelum dibeli oleh golongan berada.
Nanyang Siang Pau melaporkan, unit rumah yang dijual juga menjadi lebih mahal setiap kali bertukar tangan, akhirnya menjadi tidak mampu dimiliki.
Akhbar itu melaporkan, pandemik dan kawalan pergerakan yang berlaku selama dua tahun menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas dan ada yang kehilangan pekerjaan.
Ketiadaan sumber pendapatan dan kegagalan pemilik rumah membayar pinjaman seterusnya menyebabkan bank melelong rumah berkenaan dalam pasaran bebas.
Rumah berkenaan pada asalnya dibina untuk golongan berpendapatan rendah dan dijual dengan harga lebih rendah kerana menerima subsidi kerajaan.
Harganya yang lebih rendah juga bermaksud potensi kenaikan harganya lebih tinggi, sekali gus mendorong pembeli yang berkemampuan untuk menawarkan harga yang tinggi untuk memiliki unit berkenaan.
Pada masa yang sama terdapat pembeli menyewa rumah mereka kepada pekerja asing, termasuk pekerja asing tanpa izin.
Selain itu, Nanyang Siang Pau melaporkan, sesetengah pembeli pula menjual rumahnya selepas ‘tempoh larangan jualan’ berakhir untuk membeli rumah lain.
Keadaan itu bagaimanapun dianggap sebagai boleh diterima dan munasabah kerana pembeli rumah mampu milik juga berhak memiliki rumah yang lebih baik.
Presiden Persatuan Institut Ejen Hartanah Malaysia, Chan Ai Cheng berkata, keadaan rumah mampu milik “terlepas” ke pasaran terbuka berlaku kerana kegagalan pembeli asal membayar pinjaman.
Katanya, selain itu, terdapat juga pembeli yang tidak layak menggunakan kaedah yang tidak sah untuk membeli rumah mampu milik sebelum menjualnya untuk mengaut keuntungan.
Menurutnya, sistem kerajaan menyediakan dan melaksanakan dasar rumah mampu milik adalah baik, tetapi pelaksanaannya perlu diperbaiki bagi mengelakkan penyelewengan.
Beliau berpendapat, pembeli juga menanggung tanggungjawab yang terbesar dalam isu rumah mampu milik.
“Sekiranya pembeli tidak dapat menjelaskan hutang rumah terutamanya kerana pandemik, maka mereka perlu berbincang dengan bank untuk mengenal pasti jalan penyelesaian terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette