Lokasi pergaduhan yang menyebabkan seorang warga asing ditemui di kawasan kebun sayur di Lebu , Bentong hari ini.

KUANTAN – Seorang pekebun sayur warga asing berusia 27 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah akibat satu pergaduhan di kawasan kebun sayur di Lebu, Bentong hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pada kejadian 2.50 pagi tadi, pihaknya telah menerima maklumat mengenai satu pergaduhan dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja kebun telah mengalami cedera parah dalam kejadian tersebut.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan bantuan kecemasan dan rawatan namun telah meninggal dunia lebih kurang jam 5.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Zaiham, polis telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 26 tahun di kawasan kebun sayur tersebut dan merampas sebilah pisau berukuran lebih kurang 12 inci dipercayai digunakan dalam pergaduhan yang sama.

Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bemula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd. Zaiham berkata, punca pergaduhan dan punca kematian mangsa belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihaknya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Pahang untuk dibedah siasat dan polis memohon saksi yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian tersebut tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette