Ahmad Zahid Hamidi Mahathir Mohamad lies drop court case corruption
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menukar pendirian memilih reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) daripada jenama Sigma dari Belanda kepada Gowind dari Perancis.

Menurut Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Ahmad Zahid berbuat demikian pada 11 Julai 2011 setelah menerima syor dalam surat daripada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) pada 8 Julai 2011.

Jawatankuasa berkenaan memberitahu, sebelum itu, pada 26 Mei 2011, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengadakan taklimat pemilihan reka bentuk dan peralatan LCS kepada Ahmad Zahid.

“Semasa taklimat tersebut, TLDM telah memilih reka bentuk kapal jenama Sigma dari Belanda dan 18 peralatan utama berserta jenama pengeluar.

“Pemilihan ini dipersetujui oleh Menteri Pertahanan selepas TLDM membuat pemilihan terperinci opsyen reka bentuk yang dibentangkan oleh BNS,” jelas JKSTUPKK dalam laporan yang disediakan pada 2019.

Laporan penuh siasatan JKSTUPKK mengenai isu projek LCS yang dinyahklasifikasi boleh dicapai melalui portal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mulai hari ini.

Jawatankuasa itu menambah, BNS terus mengeluarkan surat niat kepada DCNS pada 13 Julai 2011 bagi memulakan proses reka bentuk konsep dan semakan rekabentuk dengan syarikat tersebut.

“Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mempertahankan pendiriannya dan konsisten memilih reka bentuk Sigma dari Belanda dalam pembinaan LCS.

“Ini jelas diperlihatkan dalam surat Panglima Tentera Laut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos 2011 dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 September 2011,” kata JKSTUPKK.

Laporan tersebut turut menyatakan pada 14 Disember 2011, Kementerian Pertahanan telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan surat setuju terima (STT) kepada BNS.

Tambah JKSTUPKK, dalam SST tersebut ditetapkan syarat reka bentuk Gowind dan sistem pengurusan tempur (CMS) jenama SETIS serta 17 peralatan dan subsistem.

“Pada 15 Disember 2011, Kementerian Kewangan bersetuju meluluskan pengeluaran SST kepada BNS dengan had bumbung berjumlah RM9 bilion,” jelas jawatankuasa itu. – MalaysiaGazette