KUALA LUMPUR – Satu sindiket pelacuran membabitkan sekumpulan pelancong dan pelajar asing dari Afrika digempur Jabatan Imigresen Malaysia di Cyberjaya semalam.
Taktik mereka menjadikan sebuah kondominium mewah di Cyberjaya sebagai sarang operasi pelacuran telah diserbu oleh sepasukan 20 orang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya pada pukul 4 petang.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan 10 wanita warga Afrika.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati tujuh orang wanita warganegara Tanzania dan tiga orang wanita warganegara Uganda kesemuanya berusia antara 23 hingga 37 tahun yang disyaki terlibat dalam pelacuran dan kerja tidak bermoral.
“Pengeledahan lanjut ke atas mereka di kondominium juga berjaya merampas sebanyak sembilan naskah pasport, 13 buah telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, empat set kondom dan sembilan buah buku nota yang merekodkan bukti langganan khidmat seks kesemua wanita tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, siasatan awal mendapati sembilan orang wanita berkenaan telah memasuki Malaysia secara sah sebagai pelancong asing dan seorang lagi wanita masuk sebagai pelajar antarabangsa.
Menurut beliau, dua daripada wanita berwarganegara Tanzania dan Uganda mendapati dikenal pasti berperanan sebagai ‘ibu ayam’ dalam aktiviti pelacuran tersebut.
“Siasatan lanjut Imigresen juga membongkar sindiket ini menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki Afrika terutamanya dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500 sekali langganan,” katanya lagi.
Kesemua tahanan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, JIM tidak menolak kemungkinan masih ada sindiket pelacuran warganegara asing terutama di kalangan pelancong dan pelajar antarabangsa dari Afrika.
“Susulan daripada operasi ini, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Imigresen bagi mengesan dalang sebenar yang bersembunyi di sebalik aktiviti pelacuran serta rangkaian sindiket ini. – MalaysiaGazette