KUANTAN– Seramai 59 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Pahang berjaya mendapat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Abdul Rahim Mohd Yunus berkata, prestasi tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 0.68 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, seramai lapan calon adalah daripada aliran sains manakala 51 calon merupakan pelajar aliran sastera.
“SMK Padang Saujana Jerantut muncul sebagai sekolah yang melahirkan calon paling ramai mendapat PNGK 4.0 iaitu seramai tujuh orang,” katanya selepas membuat pengumuman keputusan STPM 2021 Sekolah-sekolah negeri Pahang di SMK (LKTP) Tersang, Raub petang tadi.
Manakala SMK (LKTP) Tersang, Raub mengungguli prestasi cemerlang STPM dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.52 mata.
Tambah Abdul Rahim, SMK Dong, Raub pula muncul sebagai sekolah paling cemerlang dari segi pencapaian 4P dengan 55 daripada 56 calonnya berjaya memperoleh 4P.
Seramai 2,101 orang calon sekolah kerajaan telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021 berbanding dengan 2,195 orang calon pada tahun 2020.
Daripada jumlah itu, hanya 2,072 orang atau 98.61 peratus calon telah hadir menduduki peperiksaan.
Sebanyak 21 mata pelajaran telah ditawarkan dan diambil oleh calon-calon negeri Pahang dalam STPM 2021.
Calon dibenarkan mengambil lima mata pelajaran termasuk Pengajian Am, walau bagaimanapun kebanyakan calon hanya mengambil empat mata pelajaran sahaja selari dengan penetapan Kementerian Pendidikan bagi tujuan pengredan dan pemilihan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) – MalaysiaGazette