MELAKA – Di sebalik kepesatan sektor ekonomi gig yang menyaksikan ramai menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk membeli barangan keperluan masih ada segelintir individu nampaknya menggunakan cara lama.
Itulah dilakukan Ahmad Diah Mahat, 48, yang menunggang kapcai menjadi ‘pasar bergerak’ buat golongan suri rumah sebagai sumber rezekinya ke segenap pelosok kampung di Melaka sejak 20 tahun lalu.
Bunyi hon basikal yang dipasang pada Honda EX5 ditunggangnya sudah cukup membuatkan golongan wanita berlari ke luar rumah sebaik sahaja menyedari kehadirannya yang diibaratkan seperti ‘pasar kapcai’ yang membawa lebih 40 jenis barangan dapur buat mereka.
Apa tidaknya, sebut apa sahaja jenis sayur dan lauk mentah, pasti tidak mengecewakan pelanggannya yang mahukan barangan segar setiap hari sampai di depan pintu dapur rumah.
Menurut Ahmad Diah yang mesra disapa Cik Mad dalam kalangan pelanggannya, dia bersyukur kerana kaedah digunakannya yang popular pada era 90-an itu tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
“Alhamdulillah walaupun sudah 20 tahun menggunakan kaedah ini, masih ramai pelanggan yang tertunggu-tunggu saya membawa barangan basah segar ke depan pintu dapur rumah mereka setiap hari.
“Itulah keistimewaan bila gunakan kapcai, saya dapat masuk ke setiap lorong kampung, melalui jambatan kecil sekaligus menjimatkan masa dan tenaga golongan surirumah tanpa perlu lagi ke pasar,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan dia memaksimumkan hasil jualan, setiap jenis barangan yang dibawa akan dipastikan produk yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.
“Setiap hari bermodalkan sekitar RM1,200 saya akan membawa lebih 40 jenis barangan antaranya sotong, udang, ayam, ikan siakap, sekot, gelama, kembung, tenggiri dan parang, serta lebih 15 jenis sayur termasuk lobak, sawi, bendi, bayam, kangkung, kobis, taugeh dan cili.
“Untuk memudahkan pelanggan, saya juga menyediakan perkhidmatan membersihkan ikan,” kata bapa kepada empat anak berusia 12 hingga 19 tahun itu.
Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi bermula seawal pukul 9 pagi hingga 6 petang, Ahmad Diah berkata, satu-satunya cabaran adalah apabila hujan menyebabkan dia terpaksa mencari tempat untuk berteduh.
“Cabaran lain itu tiada sangat kerana naik kapcai ini, banyak memudahkan berbanding sebelum ini saya pernah menggunakan lori namun kosnya agak tinggi dan sukar untuk masuk ke kampung-kampung.
“Naik motosikal ini lebih mudah dan jimat dan saya pun dapat tawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan walaupun ada kalanya mereka juga terpaksa berhutang.
“Namun saya anggap itu lumrah biasa dalam perniagaan kerana pelanggan pun cuma berhutang dalam tempoh dua tiga hari sahaja,” katanya.- MalaysiaGazette