Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan pertumbuhan produktiviti buruh bagi keseluruhan tahun 2022 melepasi sasaran RMKe-12 sebanyak 3.6%.

Jangkaan itu berdasarkan produktiviti buruh bagi suku tahun kedua 2022 meningkat sebanyak 5.5 peratus dengan mencatatkan RM23,322 bagi setiap pekerja.

Prestasi itu meningkat berbanding 2.7 peratus pada suku sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertumbuhan produktiviti buruh setiap pekerja bagi suku kedua ini lebih tinggi berbanding pencapaian keseluruhan tahun 2021 sebanyak 1.8 peratus.

Produktiviti berdasarkan jam bekerja pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus dengan RM41.0
setiap jam bekerja.

Menurutnya, pertumbuhan produktiviti buruh ini selaras dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkembang sebanyak 8.9 peratus (ST1
2022: 5.0 peratus).

Pencapaian ini berikutan langkah pemansuhan semua sekatan yang dikenakan semasa pandemik dan pembukaan semula sempadan negara serta peralihan ke fasa endemik bermula 1 April 2022.

”Peningkatan produktiviti buruh dipacu oleh produktiviti dalam sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 7.5 peratus, sektor pembuatan sebanyak 4.0 peratus dan sektor pembinaan sebanyak 2.9 peratus.

”Walau bagaimanapun, produktiviti buruh bagi sektor perlombongan & pengkuarian dan pertanian mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan oleh penguncupan pertumbuhan bagi kedua-dua sektor ini,” katanya.

Bagi produktiviti buruh setiap jam bekerja pula, sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus (ST1 2022: 1.2 peratus).

Namun empat sektor utama iaitu pembinaan dan perlombongan & pengkuarian, pertanian dan pembuatan mencatatkan penurunan.

Tambah beliau, di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12), kadar pertumbuhan produktiviti disasarkan sebanyak 3.6 peratus setahun.

Dasar dan strategi yang dilaksanakan di bawah RMKe-12 dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh, antaranya meningkatkan produktiviti termasuk mewujudkan Nexus Produktiviti bagi merangka dan meneraju pelan
tindakan di peringkat perusahaan.

Sembilan Nexus Produktiviti yang diterajui oleh jaguh industri telah diwujudkan bagi subsektor agromakanan, kimia dan produk kimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, peruncitan dan makanan & minuman, pelancongan,
digital, perkhidmatan profesional dan penjagaan kesihatan swasta.

Pada tahun ini, dua lagi Nexus Produktiviti akan diwujudkan iaitu bagi sektor pembinaan dan perkhidmatan logistik.

Selain itu, bagi menambah baik pelaksanaan program peningkatan produktiviti, pemantauan di peringkat sektor dan perusahaan juga dilaksanakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Jelasnya, penekanan juga diberikan untuk memperkukuh ekosistem yang menyokong perniagaan dan menggalakkan penerimagunaan teknologi baharu dan pendigitalan dalam perusahaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana
(PMKS).

Peningkatan penggunaan teknologi akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dan
seterusnya mendorong kepada peningkatan produktiviti. – MalaysiaGazette