KUANTAN – Mayat salah seorang remaja yang hanyut di Sungai Triang berhampiran Kerayong di Bera telah berjaya ditemui jam 10.30 malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa telah ditemui 400 meter daripada lokasi kali terakhir dikatakan hanyut.
Mangsa yang ditemui dikenali sebagai Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong lemas ketika mandi dalam kejadian petang Selasa.
“Dua anggota bomba dan seorang anggota polis telah mengambil mangsa dan diserahkan pada pihak polis untuk bedah siasat manakala operasi pencarian hari ketiga diteruskan bagi mencari rakan arwah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam tragedi itu, seorang daripada mereka dihanyutkan arus sebelum seorang lagi rakan cuba menyelamatkannya.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudian hilang akibat arus deras.
Difahamkan mangsa dipercayai mandi menggunakan pelampung tayar tetapi pelampung itu dikatakan terlepas daripada pegangan mereka berikutan arus deras.
Terdahulu dalam operasi hari kedua pasukan penyelamat turut menemukan pelampung dipercayai tiub tayar dalam radius tiga kilometer pencarian semalam. – MalaysiaGazette