shabery cheek
Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak mahu mencampuri urusan mahkamah berkaitan kes rayuan SRC International yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini.

Beliau berkata, keputusan mahkamah dan kesan politik adalah dua perkara yang berbeza.

“Orang yang mengharapkan mereka lebih kuat apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum dulu, hasilnya tak seperti yang diharapkan.

“Orang yang mengharapkan akan menjadi lebih kuat apabila Najib dihukum juga harus berfikir berkali-kali,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Sejak kelmarin, pemimpin-pemimpin UMNO termasuk presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan solidariti bersama Najib yang sedang berdepan kes tersebut.

Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengulas berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan peguam Najib untuk memasukkan bukti-bukti baharu membabitkan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dalam rayuan terakhirnya.

Ahmad Shabery mengingatkan bahawa musuh Najib ada di mana-mana sama ada di luar dan dalam kerajaan.

Beliau juga percaya mahkamah melihat dan mendengar apa yang dibenarkan dibentangkan kepada mereka.

“Politik mengenai perasaan dan emosi di luar skop kerja para hakim,” jelasnya. – MalaysiaGazette