Peguam, Hisyam Teh Poh Teik keluar ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding rayuan akhir yang melibatkan anak guamnnya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes sabitan dan hukuman penjara penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 19 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Peguambela utama, Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik gagal mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu pada minggu depan.

Hisyam memohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir selama dua hari, iaitu Selasa dan Rabu, bagi membolehkan beliau hadir ke prosiding kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun lima panel hakim yang diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, permohonan tersebut ditolak.

“Seperti permohonan sebelum ini, penangguhan tidak boleh. Prosiding akan diteruskan.

“Anda adalah peguambela utama bagi perayu. Prosiding ini akan berjalan seperti yang telah dijadualkan,” katanya.

Prosiding kemudian bersambung dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berhujah mengapa rayuan akhir yang dimohon Najib itu perlu ditolak mahkamah.

Terdahulu ketika penghujahan lisan, Sithambaram berkata, Najib telah mengarahkan dana SRC International dipindahkan dan ia  dilaksanakan oleh tiga individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Sithambaram memberitahu, Jho Low bersama bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, bertanggungjawab memastikan terdapat dana mencukupi dalam akaun Najib.

Ketika pihak pendakwaan menyoal balas Najib sebelum ini, Najib mengaku terdapat komunikasi antara beliau dengan Jho Low serta Azlin mengenai perkara itu.

Jelas Sithambaram, Najib mendakwa akuannya telah dimanipulasi yang mana sehingga RM42 juta telah dipindah tanpa pengetahuan beliau dan itu adalah ada perangkap Jho Low.

“Tapi ini tidak ada kredibiliti hujah ini kerana perayu telah mengarahkan Jho Low, Azlin dan Nik Faisal untuk memastikan akaunnya mempunyai wang bagi membolehkannya mengeluarkan cek mencecah berjuta-juta,” hujahnya.

Setelah dua hari, Sithambaram selesai berhujah secara lisan dan mahkamah ditangguh sehingga Selasa depan. – MalaysiaGazette