KUANTAN – Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM900 pada Disember 2017 di Mahkamah Sesyen 2 di sini hari ini.
Tertuduh, Lee Wai Teng, 58, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan oleh Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Mengikut fakta pertuduhan, Wai Teng telah melakukan kesalahan berkaitan Set Tuntuan Bayaran Pembekalan Makanan untuk Program Klinik Sukan Prasekolah bertarikh 21.11.2017 yang mana prinsipalnya mempunyai kepentingan mengenainya dan yang mengandungi butiran palsu.
Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Terduduh diwakili peguambela Chuah Shyue Chien manakala sesi pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan cagaran RM8,000 berserta seorang penjamin berwarganegara Malaysia.
Tertuduh dikhendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM Raub bermula September ini sehingga kes perbicaraan selesai.
Tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai bicara.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 September depan – MalaysiaGazette