KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula gaji permulaan jurutera-jurutera dalam perkhidmatan awam yang didapati rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya langkah tersebut tidak diambil, jumlah golongan muda yang ingin menceburi kerjaya kejuruteraan akan terjejas.
“Saya setuju, gaji dan imbuhan dalam skim kejuruteraan perkhidmatan awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam ulangtahun ke 50 Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), malam ini.
Hadir pada majlis Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Yang Dipertua LJM, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.
Menurut Perdana Menteri, sekiranya kajian semula kaji tidak dilakukan ia juga boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara.
“Ini kerana nisbah seorang jurutera berbanding penduduk di Malaysia, adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara Jepun dan Jerman,” katanya.
Oleh yang demikian, Ismail Sabri menyeru agar jurutera Malaysia lebih agresif untuk berinovasi dan menghasilkan produk dan teknologi yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi dalam usaha memartabatkan profesion tersebut.
Katanya, kerajaan akan sentiasa menggalakkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar Malaysia bukan lagi menjadi sekadar pengguna teknologi, sebaliknya menjadi pencipta dan pengeluar teknologi.
Berikutan itu, LJM disaran menjalankan usaha lebih agresif dan serius bagi membolehkan lebih ramai jurutera dilantik bagi mengisi jawatan strategik dalam perkhidmatan awam.
Jelas Ismail Sabri, langkah itu perlu bagi memastikan ada pakar-pakar dalam bidang jurutera yang berperanan sebagai pembuat dasar.
“Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melantik kalangan jurutera mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli Lembaga Pengarah dan juga Ketua Eksekutif,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri gembira dengan usaha LJM yang ingin meminda Akta Pendaftaran Jurutera 1967.
Pindaan itu, katanya, diharap dapat disegerakan supaya mampu berperanan sebagai badan kawal selia profesion kejuruteraan yang berkesan dan profesional demi memelihara kepentingan dan keselamatan orang awam. – MalaysiaGazette