KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat sumpah laknat sekali lagi di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini sebelum rayuan terakhir kes SRC International Sdn Bhd (SRC), Selasa ini.
Ahli Parlimen Pekan itu dalam sumpah laknatnya mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.
“Wallahi Watallahi Wabillahi Watallahi, sejak aku diberikan amanah memimpin Malaysia dan sehingga ke saat ini, aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya.
“Bahawa dana sebanyak RM42 juta itu datang daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung,” katanya ketika melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, malam ini.
Najib yang juga bekas Perdana Menteri keenam didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.
Selain itu, Najib dalam sumpah laknatnya juga menyatakan beliau tidak pernah mempengerusi atau bersetuju untuk mewujudkan SRC untuk tujuan merangkul apa-apa dana syarikat itu bagi tujuan kegunaan peribadi mahupun keluarganya.
“Aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota, pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun,” katanya.
Selain itu, Najib juga menyatakan beliau tidak pernah terlibat dalam mesyuarat Kabinet untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM4 bilion.
“Aku tidak pernah terlibat untuk tujuan aku mendapatkan habuan haram sebanyak RM42 juta tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette