KELMARIN (19 Ogos 2022) dunia menyambut Hari Kemanusiaan Sedunia. Ia diwartakan oleh PBB sebagai mengenang kejadian mendukacitakan apabila seramai 22 orang terbunuh termasuk Diplomat PBB, Sergio Vieira de Mello, juga merupakan utusan khas kepada Setiausaha Agong PBB dalam misi ke Bahgdad, Iraq. Kejadian bom bunuh diri berlokasi di Hotel Canal itu berlaku pada tahun 2003. Selanjutnya, lima tahun kemudian (2008), Perhimpunan Agong PBB telah mengisytiharkan 19 Ogos setiap tahun sebagai Hari Kemanusiaan Sedunia (WHD).
Laporan Tinjauan Kemanusiaan Global 2022 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan bahawa 274 juta orang, berbanding 235 juta pada 2021 memerlukan bantuan kemanusiaan. Ia menuntut tekad tinggi pelbagai kumpulan sokongan yang memiliki nurani kedermawanan samada melalui organisasi kemanusiaan yang mengirimkan para aktivisi dan pekerja mereka di seluruh dunia.
Kita mewarisi masa depan ekstrem seperti kata James Canton dalam bukunya The Extreme Future. Fenomena luruan monsun yang membawa hujan di tengah musim kering, banjir dasyat, perubahan iklim tidak terkawal seperti musim panas yang membakar sebahagian besar Eropah mengejutkan banyak khalayak. Semua pihak menyatakan kebimbangan, termasuk para orator yang gagah berpidato.
Namun, kita percaya perubahan berdaya tahan (dynamic stabilism), ditoreh oleh perubahan mendasar bermula dalam skala kecil yang berhimpun kelak menjadi gelombang besar. Seperti kompilasi tulisan Greta Thunberg “No one is to small to make a different)
Kita perlukan pemimpin berkarisma yang dapat berperanan sebagai gam (glue) mencantumkan pelbagai kumpulan ini dalam sebuah gerombolan besar. Untuk menjadi tsunami yang dapat memukul segala binaan keangkuhan manusia. Namun, kita tidaklah mahu bercita-cita melangit. Dengan insaf mengenang usaha kecil yang boleh dimainkan, di mana ditaklifkan kita akan mengambil peranan aktif.
Pekerjaan kemanusiaan bertujuan meningkatkan darjah kemuliaan insan (karamah insaniyyah) samada di pihak jasmani dan rohani adalah kerjaya terbuka. Ia tiada menawarkan “carreer pathway” sepanjang hayat. Semua manusia memikul beban tugas ini tidak terkecuali, selagi waktu belum berhenti.
Ketidakterdugaan masa depan di era VUCA ini tidak boleh diserahkan sahaja dengan hanya menunggu waktu tiba tanpa kita bersedia memintas dan menterjemahkan keadaan sebaliknya.Ada alat untuk dapat memangku masa depan. Ianya telah ditulis para pemikir masa depan dengan kesedaran, bahawa cara terbaik untuk menjangka masa depan adalah dengan menciptakannya. The best way to predict the future is to create it seperti kata-kata yang disimpulkan oleh Alan Kay ini benar-benar mengingatkan.
Merayakan kemanusiaan dunia tidak boleh lupakan bahawa tugasan yang paling lama belum berkuasa ditangani ialah memberikan hak kemanusiaan kepada bangsa dan negara yang telah dizalimi berabad lama – Palestin.
Baru-baru ini kami menghadiri 3rd International Youth Conference for Quds and Palestine yang dianjurkan oleh الائتلاف العالمي للشباب والرياضة للتضامن مع القدس وفلسطين (Global Coalition of Youth and Sports for Palestine – GCYSP) di Ankara, Turkey. Inisiatif ini menghimpunkan pelbagai kumpulan pekerja kemanusiaan, aktivis keamanan yang telah menumpahkan segala yang mereka punyai kepada suatu tugasan global yang paling sukar.
Dr Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for a Just World (JUST) menyebutkan bahawa isu Palestin sebagai “the mother of all coflict”. Telah bersilih para pemimpin dunia berganti, berlembar-lembar resolusi dicapai, manakala deklarasi dan perjanjian telah berjilid ditandatangan lagi diisytiharkan. Isu besar ini tidak menuju penyelesaian.
“It takes a village to raise a child”. Kita meminjam peribahasa popular daripada Afrika ini. Ia boleh diterjemahkan sebagai “diperlukan sebuah desa untuk membesarkan seorang manusia”. Peribahasa ini dipilih sebagai tema untuk Hari Kemanusiaan Sedunia tahun ini. Tidak salah kita anjurkan untuk diletakdudukkan dalam menanggapi isu Palestin. Kita mengqiyaskan bahawa tidak cukup isu kemanusiaan terhebat dalam sejarah ini diupayakan oleh sesetengah aktivis sahaja.
Ia memerlukan dukungan moral, spiritual dan tekad politik daripada pelbagai kumpulan berkepelbagaian kuasa. Dengan tidak hanya menunggu pertolongan itu datang dan cita-citanya tunggal bagi melihat al-Quds dimerdekakan, GCYSP bertindak menghimpunkan kumpulan minat daripada kalangan ahli sukan dan pemimpin belia, badan beruniform seperti pengakap yang menaruh perhatian tinggi terhadap usaha ini.
Malaysia diberikan kepercayaan sebagai Pengerusi GCYSA pada sesi baru ini. Saudara Jufitri Joha telah dilantik bagi meneruskan ini daripada Mr Ahmed M. AlAtawna sebagai pengerusi sebelumnya. Dengan pengalaman memimpin organisasi masyarakat majmuk berasaskan belia di pelbagai peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, kapasiti Sdr. Jufitri Joha untuk mengemudi ketumbukan baru ini diperakui memiliki legitimasi.
Pekerja kemanusiaan Palestin perlu bergerak kepada cara-cara baru mengadvokasi perjuangan ini. Kegiatan sukan telah dikenalpasti sebagai pendekatan wajar. Ia masih belum banyak diselongkar. Sukan – dalam konteks sebagai mithalnya bola sepak adalah perayaan besar yang disambut dunia. Perayaan berasaskan agama dan budaya terhad kepada sesetengah pengamalnya.
Tetapi, sukan dilihat menyatupadukan manusia sedunia atas semangat murni kesatuan melalui semangat kesukanan. Piala Dunia Bola Sepak menjadi saksi bahawa sukan adalah alat terhebat untuk menyatukan manusia seluruh jagat. Tahun ini kita menyaksikan Doha, Qatar akan menjadi tuan rumah Piala Dunia. Kita harapkan GCYSP dapat memainkan peranan signifikan dalam peluang terhidang. Qatar sebagai negara yang menaungi faham inklusif dan progresif dilihat menorehkan legasi dan solidariti terhadap perjuangan Palestin sejak lama.
Negara lain yang memiliki nyalaan rasa yang sama sepeprti Turki telah menyambung tanggungjawab kekhalifahan dengan begitu berahi sekali menjadi jurucakap ummah, menjadi bumbung yang menaungi perjuangan mendaulatkan kedaulatan Islam. Berbanding negara Arab lain yang masih terperangkap dengan slogan dan semangat parokial, nasionalisme kebangsaan Arab yang terhad pada negara-bangsa mereka sahaja. Kegiatan GCYSP diharapkan dapat memecahkan blok ini dengan menawarkan denyut nadi kemanusiaan yang rentas kepercayaan. Pada satu perkara yang disetujui bahawa, isu Palestine adalah maruah manusia. Tidak ada manusia yang memiliki kemuliaan (dignity of men) akan merasa senang dengan penjarahan.
Di Eropah tidak terkecuali bersama gelombang kesedaran baharu ini. The Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang menghimpunkan ahli-ahli Parlimen, aktivis, usahawan yang pro-kemanusiaan bergabung menghimpunkan kekuatan yang terpecah sebelumnya. Pendekatan yang mereka pilih ialah non-violent pressure (tekanan tanpa kekerasan). Mewakili citra progresif yang sering dilaungkan Barat sebagai liberté, egalite, fraternité (kebebasan, kesetaraan, dan persaudaraan) pasca Revolusi Perancis, nampaknya Barat belum benar-benar mendefinisikan kesedaran itu kepada masyarakat bukan barat khususnya Islam. BDS sebagai anti-thesis kepada kemajuan perdana di Barat yang membuat keputusan bersama perjuangan Palestin dengan cara sendiri akan memberi nilai tambah terhadap seluruh pekerja kemanusiaan yang cintakan keamanan.
Kita mengharapkan dengan pelbagai perkembangan terbaru, Malaysia dapat menangani isu induk global ini dengan adil dan saksama. Ia adalah sebuah penghormatan kepada Malaysia yang telah lama menghimpunkan kekuatan rakyat/ummah sebagai kuasa ketiga yang bersoladariti bersama Palestin melalui tenaga, harta dan jiwa.
Selamat hari kemanusiaan sedunia.
Muhamad Hanapi b. Jamaludin
Pengurus Sekolah Pembangunan Kerja Belia dan Komuniti (SPKB)