Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Orang ramai terus meletakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengembalikan ekonomi negara kepada landasan yang betul dan mengembalikan kedudukannya seperti dahulu semula.

Rata-rata rakyat Malaysia yang ditemui menyifatkan terpaksa bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup ekoran ketidaktentuan ekonomi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Anis Syazriena Abdul Manaf

Seorang pekerja swasta, Anis Syazriena Abd Manaf, 28, berkata, ramai rakyat Malaysia terpaksa hidup berhempas pulas dek ketidaktentuan ekonomi.

“Kebanyakan orang struggle untuk hidup hari ni, ada yang gaji dah tak macam dulu, ada yang sebelum ini dapat komisen banyak tapi dah berubah. Kalau boleh saya minta PM kekalkanlah ekonomi macam dulu.

“Keadaan ekonomi sekarang yang turut menyebabkan perniagaan tidak menentu kerana orang takut nak berbelanja,” katanya yang bekerja sebagai di sebuah kedai cermin.

R.Palanisami

Seorang warga emas, R. Palanisami, 71 berkata, ada beberapa perkara utama yang mesti mendapat perhatian Perdana Menteri, antaranya ekonomi, peluang pekerjaan dan yang paling mustahak usaha membanteras rasuah.

Menurut, selepas pandemik Covid-19, masih ramai yang tiada pekerjaan, jika ada pun, pendapatan kurang mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

”Banyak orang tak ada kerja, pendapatan tak cukup. Pendapatan sangat sedikit, macam mana nak hidup? Kalau nak dibandingkan dengan negara jiran Indonesia dan Singapura, kita jauh ketinggalan,” ujarnya.

Beliau turut menaruh harapan, Ismail Sabri terus melawan rasuah sebaik mungkin, lebih-lebih lagi di ketika kes rasuah semakin membiak seperti rumput liar.

”Kes rasuah dalam negara sampai melibatkan berbilion ringgit, kalau wang ini terkumpul, boleh cecah trilion. Sebelum ini Malaysia adalah negara terbaik di Asia Tenggara, nombor satu. Apa sumber yang Malaysia tidak ada, semua ada.

“Justeru, saya harap kerajaan akan mengambil tindakan dalam mengembalikan kekayaana negara dan rakyat,” tambah Palanisami.

Noraziroh Abdul Aziz

Dalam pada itu Noraziroh Abd Aziz, 39, seorang penjaja kecil berpendapat, Perdana Menteri harus mengatasi isu ketidakcukupan barang mentah yang masih belum selesai.

”Sebagai peniaga kecil, saya banyak menggunakan minyak masak. Kalau boleh selalulah ada (minyak masak paket) kat pasaran.. ini selalu tak ada, terpaksa guna botol yang kosnya lebih mahal”

Noraziroh yang bekerja sebagai peniaga laksa berkata, walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang lebih untuk membeli minyak masak berbotol, harga jualan tetap sama, tidak berubah.

“Bukan sahaja bekalan minyak masak. Perdana Menteri perlulah menangani isu-isu kenaikan harga barang mentah yang membebankan bagi rakyat yang berpendapatan kecil.

”Saya berharap Perdana Menteri dengarlah luahan rakyat ini. Janganlah naikkan harga, tu je harapan saya” katanya.

Mohamad Zaki Majid

Mohamad Zaki Majid, 42, seorang pekerja swasta juga melahirkan harapan sama kepada Perdana Menteri supaya mengambil inisiatif untuk mengawal harga barangan.

Beliau yang bekerja dalam sektor swasta runsing memikirkan tekanan dari segi perbelanjaan harian yang tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.

“Rakyat sebenarnya tidak kesah pun sesiapa yang memerintah, asalkan kos sara hidup, peluang pekerjaan dijaga. Tengok graduan yang baharu tamat belajar pun susah dapat kerja, kalau bekerja pun sampai kena buat dua tiga kerja. Rakyat betul-betul tengah struggle sekarang.

”Sekarang banyak isu rakyat dan kami hanya mahu kehidupan yang stabil sahaja. Ismail Sabri okay.. cuma kena tambah baik, kena buat benda ad-hoc yang buat rakyat yakin.” katanya lagi.

Zaki turut menaruh harapan agar kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri menangani isu-isu rasuah yang melampau kerana negara sangat memerlukan pemimpin dalam pelbagai peringkat yang berintegriti untuk dicontohi semua.

“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ni baru setahun, kalau nak tunjukkan perubahan agak susah makan masa, kita faham. Tapi beliau perlu cuba untuk kekalkan kepercayaan rakyat, kena kawal banyak situasi semasa”

Kenneth Lim

Sementara itu, Kenneth Lim, 40, pula mengharapkan Perdana Menteri mengutamakan keharmonian antara kaum dalam negara yang berbilang bangsa.

“Kalau kita semua saling memahami dari segi budaya dan keagamaan, kita akan hidup lebih harmoni”

“Saya percaya ini yang semua orang harapkan, sebab kalau kita boleh bertolak-ansur, hidup tanpa diskriminasi antara kaum, segala urusan akan jadi lebih senang” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast