shahril hamdan
Shahril Hamdan berucap pada program Himpunan Anak Muda Rantau Panjang dan Tumpat di Pantai Geting, Tumpat, semalam. Foto: Facebook Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas di Kelantan berkemungkinan besar tidak dapat dielakkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, selepas 32 tahun Pas memerintah, kini tiba masanya untuk Kelantan membuat perubahan.

“Beri peluang kepada BN membawa pembangunan dan pelaburan, menjana pekerjaan dan menyelesaikan isu-isu di negeri Kelantan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas tentang program Himpunan Anak Muda Rantau Panjang dan Tumpat yang dirasmikannya di Pantai Geting, Tumpat, semalam.

Kelantan merupakan medan pertembungan sengit antara kedua-dua parti sejak Pas berjaya merampas semula negeri itu dari tangan BN pada Pilihan Raya Umum Kelapan (PRU-8) setelah ditadbir BN sejak 1974.

Kini, BN mempunyai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan. Parti itu kehilangan satu kerusi apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU-14.

Antara isu yang sering dibangkitkan di Kelantan sejak di bawah pentadbiran Pas adalah masalah gangguan bekalan air serta kurang peluang pekerjaan sehingga menyebabkan ramai rakyatnya terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain.

Selepas PRU-14, Pas dan UMNO menjalinkan kerjasama politik melalui platform Muafakat Nasional (MN) namun ikatan itu semakin longgar ekoran pendirian Pas yang memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette