rafizi ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mendakwa skandal Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad dan ahli keluarganya.

Beliau mendakwa, ahli keluarga yang dimaksudkannya adalah isteri kepada Ahli Parlimen Mersing itu iaitu individu bernama Zainab Mohd Salleh.

Dalam pendedahan menerusi Facebook rasminya itu, Rafizi berkata, keluarga bekas pemimpin UMNO itu didakwa memiliki dua syarikat palsu yang didaftarkan.

“Siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan saya menunjukkan kesimpulan iaitu dua buah syarikat palsu yang menggunakan nama Alizes Marine telah didaftarkan yang mana sebuah syarikat bernama Alizes Marine Limited yang didaftarkan di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan yang didaftarkan di Labuan.

“Kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai dan tidak boleh dijejaki manakala kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat pesisir luar pantai dibocorkan oleh pemberi maklumat sehingga menjadi skandal besar dunia (dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers),” dakwanya.

Semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh. (Rujuk https://offshoreleaks.icij.org/nodes/55047357).

“Zainab Mohd Salleh juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited. Syarikat ini memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan,” katanya lagi.

Dalam pendedahan sama, bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine menyelewengkan dana kapal perang LCS.

Tambah Rafizi, beberapa bentuk penyelewengan didakwa berlaku iaitu yang pertama syarikat-syarikat sebegini dilantik menjadi jururunding teknikal (sedangkan mereka tiada kepakaran) kepada projek yang mana mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan.

Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.

Penyelewengan kedua yang didakwa Rafizi adalah bahawa Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (spare parts) kepada projek LCS dan lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu).

Justeru, dakwanya, projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan.

“Zainab dilihat sebagai wanita berpengaruh dalam isu LCS ini ialah isteri kedua kepada Abdul Latiff, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mana semasa skandal ini berlaku, Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin UMNO sebelum menyertai Bersatu selepas PRU 2018.

“Laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab adalah isteri kepada Abdul Latiff dan muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 laporan menyebut “It is noted that Abdul Latiff is the spouse of Zainab” yang bermaksud “Siasatan mengambil maklum bahawa Abdul Latiff adalah suami kepada Zainab” yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013 yang mana Menteri Pertahanan ketika ini ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Presiden UMNO sekarang.

“Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan dan saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau,” katanya.

Tegas Rafizi, terdapat juga beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Abdul Latiff) atau isterinya dan pelbagai maklumat berkaitan juga akan keluar pada kadar yang segera.

Rafizi memberitahu hakikat bahawa skim-skim menyelewengkan dana LCS menggunakan syarikat-syarikat palsu yang dimiliki oleh timbalan menteri pertahanan pada ketika itu bukanlah satu kebetulan.

“Sebab itu, saya dari awal telah menuntut penjelasan dari Zahid sebagai Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menukar reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind dan Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan dan perdana menteri ketika itu dan mustahil skim penyelewengan ini yang melibatkan projek-projek yang dikendalikan oleh kedua-dua mereka (Najib dan Zahid) boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka.

“Saya harap pendedahan saya pada hari ini menutup mulut UMNO dan Barisan Nasional yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut apabila skandal ini meletup manakala skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dalam kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan.

“Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari Bersatu dan Pas mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka, Latiff Ahmad dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS.

“Saya menunggu reaksi pimpinan UMNO, Pas dan Bersatu yang membentuk kerajaan Persekutuan kali ini dalam pendedahan terbaharu ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette