Mahathir Anwar
Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Rakyat sudah bosan dengan ‘drama politik’ antara Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpanjangan sejak 30 tahun lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, rakyat kini mahu melupakan era Anwar dan Dr. Mahathir.

Beliau turut menasihatkan Anwar agar jangan terperdaya lagi dengan helah Dr. Mahathir yang berura-ura ingin membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Bang Non, tak serik-serik lagi? Nak kuasa punya pasal, Mahathir pun Mahathirlah. Esok Mahathir tipu kamu lagi kamu jangan kata lapan kali hampir jadi PM pula.

“Kalau parti kamu menang dia jadi PM kali ketiga (nauzubillah) kamu nganga lagi jadi PM tepi,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Dalam wawancara bersama Bloomberg baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menolak kemungkinan partinya akan membentuk pakatan pilihan raya dengan PH selepas menjangka tiada parti yang mendapat majoriti besar pada PRU-15.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu tidak berminat untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga atas faktor kesihatan.

Harapan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelapan selepas Dr. Mahathir tidak kesampaian apabila kerajaan PH tumbang dengan sendirinya setelah 22 bulan berkuasa.

Dr. Mahathir yang ketika itu merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan tekanan yang amat hebat daripada sekutu-sekutunya dalam PH yang mendesak agar jawatan Perdana Menteri diserahkan segera kepada Anwar.

Beliau akhirnya meletak jawatan pada 24 Februari 2020 sekali gus meletakkan negara dalam situasi tidak menentu ketika pandemik COVID-19 mula melanda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast