TEMERLOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam perancangan membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jenderak, di Kuala Krau, di sini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, projek itu akan melibatkan pembinaan 500 unit kediaman teres di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia ke-12.
“PPR itu adalah salah satu dariapda program perumahan rakyat untuk mereka yang berada di tahap B40 ke bawah di mana permohonan yang diterima adalah banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Balai Bomba Kuala Krau, di Rumpun Makmur, yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, hari ini.
Jelas Reezal, dengan hala tuju yang baru ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni yang dilaksanakan sejak awal tahun ini, rumah PPR kini berkeluasan 750 kaki persegi.
“Kedua, PPR ini adalah PPR yang bukan sahaja boleh disewa tetapi juga boleh dimiliki. Sebab kalau buat di Kuala Krau, siapa yang nak menyewa sahaja,” katanya.
Tambah Reezal, kadar jualan PPR itu juga akan ditetapkan pada paras yang cukup rendah kerana ia rumah yang mempunyai tahap subsidi yang tinggi.
“Kadar jualannya dahulu pada RM35,000. Tapi yang baharu telah ditetapkan RM42,000 bersesuaian dengan saiz tanah yang lebih besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa setiap perumahan PPR yang dibina di negeri ini tidak perlu lagi dipindahkan tanah kepada Pengurusan Tanah Persekutuan (PTP).
“Dengan adanya hala tuju baharu ini, mempercepat proses pembinaan. Namun yang paling penting, kita juga kena lihat dari segi keupayan kewangan negara,” kata Reezal.
Hala tuju baharu ini juga katanya menyaksikan usaha kerajaan memastikan setiap kawasan penempatan adalah berdaya huni.
“Ini bermaksud kena ada infrastruktur yang cantik, fasiliti sokongan, kemudahan awam, kawasan terbuka, dan paling penting adalah semua perumahan PPR terbaru mesti ada elemen fiber to the room,” katanya. – MalaysiaGazette