KUALA LUMPUR – Laporan Siasatan Audit Forensik projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) setebal 104 muka surat yang dinyahklasifikasi oleh kerajaan membuktikan tidak ada sebarang campur tangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam menentukan pembayaran kepada syarikat-syarikat yang disebutkan dalam laporan tersebut sepertimana andaian dan fitnah yang didakwa oleh Rafizi Ramli.
Sebaliknya, laporan itu mendedahkan kesemua kebocoran dan salah guna kuasa yang berlaku dalam projek tersebut berpunca kerana kelemahan tadbir urus.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, antara contoh jelas kelemahan tadbir urus hingga memungkinkan berlakunya ketirisan dan salah laku apabila Jawatankuasa Pemandu LCS yang dianggotai oleh orang yang sama terutamanya bekas Panglima Angkatan Tentera Laut Tan Sri Ahmad Ramli Nor dan Kapten Anuar Murad.yang duduk di pengurusan tertinggi, jawatankuasa tender, lembaga pengarah.
Menurutnya, nama mereka ini disebut berulang kali pada kebanyakan bahagian dalam laporan tersebut.
Mengulas mengenai laporan itu, Asyraf mendapati, antara perkara asas dalam kelemahan tadbir urus korporat ialah apabila individu yang sama berada dalam semua jawatankuasa yang membuat tawaran tender (call for tender) dan individu yang sama juga membuat penilaian serta membuat keputusan dan memutuskan berkenaan pemberian tender.
”Dalam istilah tadbir urus dipanggil konflik berkepentingan,” kata Asyraf.
Justeru, katanya, adalah tidak benarlah sama sekali segala andaian jahat dan fitnah yang cuba dimainkan dan dimanipulasi oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba mewarnakan pemikiran dan memainkan persepsi rakyat kononnya isu kapal LCS ada kaitan dengan pemimpin UMNO.
Ini termasuklah dakwaan Rafizi kononnya hanya ‘ikan bilis’ yang didakwa manakala ‘ikan jerung’ terlepas.
Sedangkan, dalam laporan berkenaan tiada langsung dalam mana-mana bahagian mengaitkan Menteri UMNO, katanya. – MalaysiaGazette