KUALA LUMPUR – Hampir 24 jam pendedahan Rafizi Ramli yang mendakwa skandal Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad, namun siapa Zainab Mohd Salleh masih belum dijawab olehnya.
Dalam entri terbaharunya di Facebook, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya memberitahu, beliau berkemungkinan akan disaman pihak-pihak tertentu.
”Semalam, apabila saya menamakan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad sebagai salah seorang jerung dalam skandal LCS, serta-merta saya dapat mesej WhatsApp dari peguam saya.
”Dengan bersahaja dan berlawak, dia dah tahu kemungkinan besar pendedahan saya itu boleh menyebabkan saya di saman. Dia juga tahu bila saya kena saman, dia dan rakan-rakan peguam yang lain terpaksa menyediakan kes untuk membela saya secara percuma kerana saya tidak berduit dan tidak mampu membayar peguam-peguam yang mahal seperti Najib.
”Tapi mereka tidak pernah jemu dengan perangai saya dan kami terus jadi kawan sejak 2011 lagi (apabila saya mula-mula mendedahkan skandal lembu dalam kondo). Seperti biasa, kami boleh melawak lagi bila kena ke mahkamah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, MalaysiaGazette tidak menjumpai apa-apa maklumat mahupun kenyataan Rafizi mengenai siapa sebenarnya Zainab Mohd Salleh yang dimaksudkan Rafizi sebelum ini.
Dalam pendedahan yang dibuat semalam, Rafizi berkata, Zainab adalah isteri kepada Ahli Parlimen Mersing itu.
Namun, kenyataan Rafizi itu dinafikan dengan tegas oleh Abdul Latiff.- MalaysiaGazette
Rafizi dedah siapa sebenarnya Zainab esok
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL