Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak mendakwa suami kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mempunyai pandangan negatif terhadapnya beliau sebagai pemimpin negara ketika beliau masih bergelar Perdana Menteri.

Najib dalam afidavit permohonan untuk Tun Maimun menarik diri dari mendengar kes rayuan akhirnya mendakwa  Zamani Ibrahim dalam beberapa ciapan di laman sosial beliau sudah memberi kesimpulan dirinya telah menyalur keluar dana-dana harta negara ke dalam akaun peribadi.

Menurut salinan afidavit yang diedarkan kepada media, Najib berkata, pada 17 Ogos lalu beliau mendapat tahu mengenai hantaran didakwa dibuat Zamani.

Kata Najib, hantaran bertarikh 11 Mei 2018 itu antara lain didakwa melahirkan rasa gembira Zamani apabila beliau digulingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Oleh kerana beliau merupakan suami terhadap pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan saya, adalah berkemungkinan beliau akan mempengaruhi pemikiran pengerusi terhadap tuduhan ke atas kebersalahan saya.

“Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami-isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari olehnya melalui sentimen-sentimen suami Yang Amat Arif terhadap saya.

“Saya meragui keputusan-keputusan yang tercapai adalah tercemar dengan bias dan pandangan awam terhadap kebebasan badan kehakiman akan diragui malah sesungguhnya percaya sekiranya mahkamah memutuskan bertentangan saya di mana yang dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim, pemerhati termaklum dan berfikiran adil akan berpendapat yang sama terhadap isu-isu yang terbangkit di atas,” kata afidavit berkenaan.

Najib turut melampirkan beberapa ciapan yang dipercayai di muat naik oleh Zamani sebelum ini dalam permohonan tersebut.

Kata Najib, pada awal prosiding SRC empat tahun lepas, hakim pertama yang mendengar iaitu Datuk Sofian Razak telah dikatakan mempunyai seorang abang yang merupakan ahli UMNO dan ahli Kaunsel Eksekutif Negeri Pahang.

Ketika itu, Majlis Peguam Malaysia telah mengeluarkan pernyataan memohon penarikan diri beliau atas sebab orang awam mungkin berpandangan keadilan tidak dilihat berlaku.

“Dalam masa yang sama, Yang Amat Arif harus dipertanggungjawab ke atas beban yang sama seperti mana yang telah dicadangkan oleh Majlis Peguam dan ini menyokong penegasan saya bahawa terdapat real danger of bias yang berlaku.

“Selain itu, dalam permohonan saya untuk kemasukan Jonathan Laidlaw QC, Yang Arif Hakim Wan Ahmad Farid juga telah membuat deklarasi bahawa abang beliau merupakan ahli politik aktif UMNO dan telah menarik diri daripada mendengar perkara tersebut walaupun pihak-pihak tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Oleh itu, mahkamah ini yang merupakan Mahkamah Agung negara ini juga harus mematuhi standard-standard tinggi,” ujarnya.

Prosiding bersambung ketika ini dengan peguambela, Teh Poh Teik sedang berhujang berhubung permohonan mereka menggugurkan Tun Maimun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib mohon Tun Maimun tarik diri

1 Komen

  1. Semacam ada conflict of interest samada yang terdahulu mahupun yang terkini. Untuk mengelakkan sebarang salah tanggapan dan berat sebelah eloklah YDPA tububuhkan sebuah RCI untuk menyiasat perkara yang dilihat sangat serus ini?

Comments are closed.