Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Peguam utama pembelaan Datuk Seri Najib Razak pagi ini memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah memfailkan permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mempengerusikan prosiding akhir rayuan sabitan kes SRC International.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan perkara tersebut pada prosiding di Mahkamah Persekutuan yang bermula jam 9.40 pagi tadi.

Hisyam dengan sopan dan merendah diri berkata, permohonan itu telah dilakukan selepas pihaknya mendapat ‘maklumat tertentu’ pada saat-saat akhir dan ia bagi memastikan anak guamnya mendapat keadilan melalui prosiding rayuan akhir.

“Kami telah mendapat arahan untuk memfailkan permohonan ini, ia dilakukan oleh kami dengan rasa hormat berdasarkan isu perundangan,” katanya sebentar tadi.

Ketika disoal Tun Maimun adakah beliau akan berhujah lisan berhubung rayuan akhir berhubung sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadap Najib, Hisyam berkata beliau tidak akan mengemukakan sebarang hujahan kecuali berkaitan isu perwakilan.

Kata beliau lagi adalah lebih baik menunggu terlebih dahulu keputusan permohonan mereka sebelum memulakan hujahannya.

Namun Tun Maimun tidak membenarkan permohonan itu sebaliknya berkata, hujahan boleh diteruskan sementara menunggu keputusan.

Panel hakim akan meneliti terlebih dahulu salinan permohonan yang telah dikemukakan oleh Najib semalam dan Mahkamah ditangguhkan sementara waktu. – MalaysiaGazette