Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak (kiri) bergambar bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain.

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Sharim Md Zain sedih dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah di mahkamah semalam.

“Ini kali kedua rasa kecewa seperti ini, kali pertama peristiwa tahun 2018 apabila Barisan Nasional (BN) kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” jelasnya

Meskipun menghormati keputusan mahkamah namun Sharim turut terkilan kerana permintaan Ahli Parlimen Pekan itu untuk menangguhkan prosiding ditolak.

“Memang berat hati tapi kita sebagai generasi baharu harus ambil iktibar daripada apa yang berlaku hari ini,” katanya.

Beliau berkata, apa yang terjadi tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di Chini.

Pada 4 Julai baru-baru ini, genap dua tahun beliau diberi mandat menerajui Chini selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan majoriti besar 12,650 undi.

Meski kawasannya itu disifatkan sebagai ‘kubu kuat’ BN di Pekan, beliau mahu terus mengingati pesanan Najib untuk sentiasa dekat dengan rakyat.

“Biarlah jasa jadi sanjungan. Insya-Allah saya akan terus berbakti kepada masyarakat,” tegasnya.

Beliau bersama tiga buah bas yang membawa ahli UMNO Chini turut mengikuti keputusan kes rayuan akhir bekas Perdana Menteri ke enam itu di Kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya semalam.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Mohd Najib di atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette