Detik-detik Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada 12 Mei 2018 berikutan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak tidak akan memudarkan semangat bekas Perdana Menteri itu.

Dalam hantaran di laman Facebook, beliau juga yakin bahawa perjuangan UMNO tetap sukar di sebalik keputusan Istana Kehakiman memenjarakan Najib untuk tempoh 12 tahun dan mengenakan denda RM210 juta.

“Apabila Mahkamah mengekalkan keputusan sabitan ke atas DS Najib Tun Razak selepas rayuan inilah merupakan detik duka buat UMNO.

“Beliau sendiri  meluahkan yang “kekuasaan kehakiman ditekan ke atas dirinya dengan cara yang sangat tidak adil,” katanya.

“Kami berada di luar dan dalam mahkamah  tadi turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun ini tidak bermakna kami berputus asa,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, beliau berharap Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalaman dalam menghadapi dugaan tersebut.

Sebagai pejuang tulen, katanya, Najib tidak mudah patah semangat dan berjuang terus berjuang.

“Kami percaya ada malam yang gelap pasti akan ada siang yang cerah. Masa akan menentukan segalanya.

“Buat DS Najib Razak dan ahli UMNO sekalian ingatlah ayat 40 surah al Taubah, Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.

“Marilah kita terus bersama-sama bersolidariti. Susah dan senang DS Najib kita tetap bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga meminta supaya semua pihak bertindak rasional serta akur dengan keputusan parti yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat.

Semalam lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sepakat mengekalkan hukuman ke atas Najib dalam kes SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang petang semalam dan akan menyambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah Jalan Duta esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast