zuhdi marzuki
Mohd. Zuhdi Marsuki

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki belum dapat diyakinkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah seperti yang cuba dibuktikan oleh pihak pendakwaan dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Menurut beliau, pendirian itu adalah berdasarkan keberanian Najib melakukan sumpah muhabalah walaupun ia bukan sebahagian daripada proses perundangan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, Mohd. Zuhdi menasihatkan semua pihak  menghormati keputusan mahkamah setelah semua proses dilalui dari Mahkamah Tinggi sehingga Mahkamah Persekutuan.

“Sekiranya pihak Najib tidak berpuas hati dengan proses yang telah dilalui, beliau boleh membuat permohonan untuk semakan kehakiman,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Beliau menambah, jasa Najib semasa menjadi Perdana Menteri khususnya dalam melaksanakan transformasi terhadap dasar dan amalan yang merosakkan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak seharusnya dilupakan oleh rakyat.

Mohd. Zuhdi yakin sekiranya transformasi itu tidak berlaku, negara kurang berupaya menghadapi krisis pandemik COVID-19 dan pulih dengan begitu pantas.

“Selain itu, apa jua pun keputusan yang telah dijatuhkan oleh mahkamah ke atas Najib, masyarakat Malaysia khususnya umat Islam perlu terus bersatu-padu untuk membangunkan negara dan mempertahankan keharmonian.

“Tidak dapat dinafikan, peranan Najib adalah besar untuk membuka perdamaian antara Pas dan UMNO yang telah bermusuhan begitu lama sebelum ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast