PUTRAJAYA – Dua pertubuhan pengamal media mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menubuhkan badan siasatan bagi menjalankan siasatan terhadap isu yang dibawa bekas wartawan penyiaran Bernama TV, Sydney Yap Xi Ni.
Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang mengemukakan memorandum kepada K-KOMM berkata, isu itu perlu segera diatasi kerana ia melibatkan industri media yang menyalurkan maklumat kepada umum.
“Menteri patut menubuhkan satu jawatankuasa siasatan mengenai isu yang dimainkan oleh Sydney. Ini penting dan hasil siasatan itu perlu disebarkan kepada umum untuk telus dan tidak perlu dilewatkan.
“Ini bukan keadilan untuk Sydney tapi keadilan untuk semua pengamal media. Menteri perlu mengkaji semula faedah pekerjaan yang dipertingkatkan untuk industri media,” kata Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu.
Memorandum itu diserahkan Wathshlah kepada pegawai khas Menteri Komunikasi dan Multimedia, A Subash Chandrabose di bangunan kementerian itu, hari ini.
Memorandum empat muka surat itu antara lain turut menggesa K-KOMM menyiasat dakwaan beberapa lagi isu berkaitan media antaranya pemotongan gaji tersembunyi, kekurangan sumber manusia dalam Pasukan Berita Mandarin Bernama TV.
“Secara umumnya pekerja media berhadapan dengan pekerjaan yang tidak menentu, walaupun segala komitmen dan dedikasi yang diberikan pengamal media, seharusnya mereka mendapat jaminan pekerjaan, peningkatan gaji serta kenaikan pangkat.
“Bagaimanapun, pengalaman yang disuarakan oleh Sydney dan pekerja media yang lain menunjukkan segala manfaat itu tidak diterima sebaliknya sering ditamatkan perkhidmatan bila berlakunya pengecilan operasi atau berlaku gabungan serta pemerolehan syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, Sydney berharap isu yang diketengahkan beliau turut dirasai oleh rakan-rakannya yang lain.
Justeru itu, beliau merasakan apa yang dibangkitkan perlu mendapat perhatian pelbagai pihak dan menolak terdapat kepentingan terhadap beliau kerana sudah tidak lagi berkhidmat dengan agensi berita berkenaan.
“Apa yang akan diambil oleh Bernama tidak akan memberikan manfaat kepada saya lagi seperti kenakan gaji dan seumpamanya.
“Saya berharap ini adalah peluang kepada golongan muda yang akan bekerja dalam bidang media tidak perlu tinggalkan industri kerana gaji mereka rendah.
“Saya ada kawan yang tinggalkan industri media setelah lebih tiga tahun kerana gaji hanya RM3,000,” katanya dalam sidang media sama.
Sydney Yap yang mula berkhidmat di Meja Penerbitan Bahasa Mandarin pada September 2019, sebelum ini mendakwa dalam hantaran Facebook bahawa Bernama TV telah memotong gaji dan elaun serta lewat dalam pengambilan petugas baharu bagi menggantikan mereka yang telah berhenti kerana melanjutkan pelajaran dan mendapat tawaran di stesen televisyen lain. – MalaysiaGazette