Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendabik dada kononnya mereka berjaya mengembalikan sistem keadilan dalam negara mendatangkan perasaan mual dan meluat kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu menyenaraikan 14 kes melibatkan pemimpin PH yang digugurkan ketika parti itu berpeluang menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Kes-kes melibatkan pemimpin-pemimpin PH satu persatu ditarik balik atau dibuang begitu sahaja walaupun ada yang sudah separuh jalan dibicarakan di mahkamah,” kata Asyraf Wajdi.

Pada 28 Jun 2018 mahkamah melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Sungai Buloh (PKR) merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa daripada tuduhan memuat naik poster palsu yang memaparkan foto Datuk Seri Najib Razak di laman sosial.

Hakim Zaman Mohd Noor melepas dan membebaskan Sivarasa selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan menarik balik dua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas tanpa membebaskan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR), Hassan Abdul Karim, atas tiga pertuduhan bawah Akta Hasutan 1948 pada 27 Julai 2018.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Naliatul Huzaimi Ab Rasip memaklumkan bahawa pihak pendakwaan ingin menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Hassan.

Pada 27 Julai 2018 Ahli Parlimen Kampar (DAP) Thomas Su Keong Siong, 52, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram.

Keputusan itu dibuat Hakim Norashima Khalid selepas permohonan menarik semula tuduhan terhadap wakil rakyat DAP itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab yang menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Tuduhan menghasut yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Sungai Buloh (PKR) R Sivarasa; bekas Naib Presiden PKR, N Surendran dan kartunis, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar digugurkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 30 Julai 2018.

Hakim Zamri Bakar dan Hakim Dr Gan Chee Keong, masing-masing membuat keputusan itu selepas mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun, Zaki Asyraf Zubir dan Faizah Ismail menarik balik pertuduhan terhadap kesemua tertuduh.

Pada 15 Ogos 2018 tuduhan yang dikenakan terhadap peguam Eric Paulsen, dan bekas Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan kerana menghasut juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim M.M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun memaklumkan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan dan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap mereka yang merupakan Orang Kena Saman (OKS).

Tuduhan yang dikenakan terhadap bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Mohd Tamrin Abdul Ghafar kerana menghasut juga digugurkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 Ogos 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Ashraf Zubir memaklumkan mahkamah pihaknya menarik balik pertuduhan terhadap Mohd Tamrin.

Pada 3 September 2018 Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang (DAP), Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung tuduhan rasuah pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2018 melepas dan membebaskan pereka grafik, Fahmi Reza daripada tuduhan memuat naik imej badut menyerupai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Instagram miliknya, dua tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar membuat keputusan itu terhadap Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan menerusi Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd Yushaa untuk menarik balik pertuduhan itu mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Tuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Stampin dan ADUN Kota Sentosa dari Dap Chong Chieng Jen, dan bekas Ahli Parlimen Stampin dari Dap, Julian Tan Kok Ping kerana melibatkan diri dalam demonstrasi haram menyebabkan mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuching pada 17 Disember 2018.

Hakim Mahkamah Sesyen Steve Ritikos membuat keputusan itu susulan arahan dari Jabatan Peguam Negara di Putrajaya agar pertuduhan itu ditarik balik ketika sebutan semula dilakukan.

Pada 11 Februari 2019 Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan untuk mendakwa peguam, Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 27 Februari 2019 daripada tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) di akaun Facebook miliknya.

Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Rafizi,

Tidak membuat bantahan terhadap representasi peguam aktivis, Haris Ibrahim atas tuduhan menghasut berkaitan kenyataan di sebuah forum mengenai pilihan raya umum ke-13 di Kuala Lumpur pada 13 Mei 2013.

Ini menyebabkan Haris dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 9 Oktober 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dilepas dan dibebaskan oleh dua Mahkamah Tinggi berasingan atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam LTTE pada 24 Februari 2020.

Di awal prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Suffian Jaafar, memberitahu mahkamah pihaknya menerima arahan daripada Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Gunasekaran.

Jabatan Peguam Negara di bawah Kerajaan PJ juga telah mengeluarkan arahan pada 25 Februari 2020 untuk tidak meneruskan prosiding terhadap ADUN Gadek dari DAP, G Saminathan kerana melibatkan diri dengan kumpulan pengganas LTTE.

Perintah pembebasan itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi berasingan yang mendengar kes mereka selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya bahawa Peguam Negara telah mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Kesemua mereka ini akhirnya terlepas bebas dan tidak boleh didakwa semula atas prinsip ‘double jeopardy’.

“Tindak tanduk pemanipulasian kuasa pada zaman PH ini akhirnya merosakkan semula sistem keadilan yang selama 14 tahun sebelumnya telah dibaiki oleh kerajaan kita.

“Maka janganlah PH hari ini cuba memanipulasi pemikiran awam pula kononnya merekalah juara. Sedangkan rakyat amat tahu merekalah perosaknya,” kata Asyraf Wajdi. – MalaysiaGazette