Mohd Hanif (depan) merasmikan program komuniti hijrah di Kem PLKN White Resort, Balik Pulau, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kini dalam proses melengkapkan siasatan berhubung kedai nasi ayam dan itik di Sungai Ara di sini, yang mencetuskan kontroversi sensitiviti umat Islam pada 15 Ogos lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd Hanif Omar@Wahab berkata, penguat kuasa serta pegawai bahagian pendakwaan dijangka menyiapkan laporan berhubung kes tersebut pertengahan bulan September ini.

Jelas beliau, pihak berkenaan akan meneliti sama ada pemilik kedai makanan itu melanggar Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang memerlukan dia dihadap ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan atau sebaliknya.

Mohd Hanif.

“Saya tak cakap dia (pemilik kedai) akan didakwa kerana kita perlu lihat dahulu hasil siasatan kes tersebut.

“Buat masa ini siasatan masih berjalan dan kita akan teliti Seksyen yang sesuai digunakan untuk pendakwaan sekiranya wujud elemen pelanggaran Enakmen Kanun Jenayah Syariah,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai siasatan awal, Mohd Hanif berkata, pegawai dari bahagian halal JHEAIPP ke lokasi gerai di Sungai Ara itu sebaik mereka terima aduan dan laporan berhubung keraguan penjualan nasi ayam dan itik tersebut.

“Hasil semakan mendapati ayam dan itik yang digunakan itu dari sumber halal selain mereka masak di sebuah kios di kompleks beli-belah di Persiaran Gurney sebelum dibawa ke Sungai Ara namun mereka tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Kita telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dalam menjalankan siasatan tersebut dan kita tidak boleh ambil tindakan atas penggunaan logo halal kerana ia di luar bidang kuasa kita,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Hanif turut menasihatkan umat Islam khususnya agar lebih berhati-hati memilih produk halal.

“Tak semestinya orang pakai tudung, kopiah jual produk makanan halal. Itu hanya penjual beragama Islam jadi kita kena tahu beza dan buat pilihan yang betul.

“Mak cik, pak cik jual tepi jalan memang kita tengok kita yakin halal tapi dalam masa sama kita kena pastikan semua sumber bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan makanan itu adalah halal.

“Memang tak mudah mereka (penjaja kecil) nak mohon SPHM tambahan pula ia memerlukan kos tapi kita masih ada pilihan untuk mendapatkan produk yang betul-betul halal,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

JHEAIPP siasat dakwaan status halal peniaga nasi ayam Sungai Ara

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengesahkan kedai menjual nasi ayam dan itik di Sungai Ara tidak mempunyai sijil halal.

Ketidakpuasan hati mengenai penjualan nasi ayam dan itik itu tercetus selepas satu rakaman video tular di media sosial memaparkan tindakan dua orang lelaki dipercayai pekerja gerai makanan tersebut menghantar beberapa bekas makanan ke sebuah restoran yang tidak halal di Paya Terubong. – MalaysiaGazette