KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menepis dakwaan kononnya beliau campur tangan dalam keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Razak
Walaupun Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilantik mengisi jawatan tertinggi badan kehakiman ketika beliau menjadi perdana menteri tetapi Ahli Parlimen Langkawi itu tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh mahkamah terhadap Ahli Parlimen Pekan itu pada 23 Ogos lalu.
“Memang benar, sayalah yang melantik dia (Tengku Maimun) memandangkan ketika itu (kerajaan Pakatan Harapan) saya adalah perdana menteri kerana saya tidak mempunyai pilihan lain kerana nama beliau (Tengku Maimun) yang dicadangkan…jadi saya terus meluluskan (pelantikan Tengku Maimun).
“Kalau nak dakwa saya sudah mempengaruhinya (keputusan mahkamah) semua ada tiga mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sembilan hakim, kesemuanya berpendapat sama dalam kes ini. Pelik kalau nak kata saya campur tangan.
“Lagi pun kes perbicaraan mengambil masa empat tahun dan dalam sejarah Malaysia tiada kes yang berjalan tempoh lama sebegitu kerana kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim hanya mengambil masa sembilan bulan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Himpunan Nasional Berjasa 2022 hari ini.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya beliau camput tangan dalam keputusan mahkamah membabitkan kesnya dan berlaku ketidakadilan.
Pengasas Gerakan Tanah Air itu juga menambah Najib telah diberikan peluang dan masa yang secukupnya untuk mempertahankan diri dan membuktikan dirinya tidak bersalah sepanjang tempoh perbicaraan tersebut.
“Tapi apa dia buat? Segala tindakan yang dia buat hanyalah menuduh itu dan ini tidak betul, contohnya, dia dituduh usahasama dengan Petrosaudi yang mana segala dokumen bukti kukuh di tunjukkan tetapi dia menafikan tanpa menunjukkan buktinya.
“Kita ada bukti buku cek dokumen bertulis wujud. Kamu (Najib) pula nafi ia dokumen palsu, dakwa tak dapat layanan adil dan sebagainya, apa yang tak adil, Kamu patut kemuka bukti kukuh yang boleh memastikan dokumen yang dibuktikan pendakwaraya palsu, tapi kamu tak buat begitu,’ kata beliau.
Pada Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kerana didapati menyeleweng wang dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.-MalaysiaGazette