Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Najib berucap pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap ahli dan pemimpin UMNO tidak mensia-siakan pengorbanan ayahnya sehingga dipenjara.

Datuk Mohamad Nizar berkata, ayahnya betul-betul sayangkan UMNO yang dianggap sebagai parti keramat.

Malah Najib sanggup berkorban asalkan UMNO dan Barisan Nasional kembali menjadi parti pilihan rakyat Malaysia.

“Kalau masih ingat apabila kita mula-mula kalah dahulu dialah yang pertama ke hadapan mempertahankan parti. Dia juga tidak minta parti mempertahankan dia.

“Dia sanggup dicaci, dikeji dan difitnah macam-macam tetapi dia masih teruskan.

“Saya fikir jika ayahanda saya diberikan pilihan antara penjara dan selamatkan diri, beliau lebih rela pilih penjara daripada menjadi pengkhianat dan bacul kepada perjuangan parti,” kata Mohamad Nizar yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Amanat Presiden UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

Majlis itu diadakan khusus bagi memperjuangkan nasib yang dilalui oleh Najib yang ketika ini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berkaitan kes SRC International.

Mohamad Nizar berkata, siapa yang kenal ayahnya pasti akan menyedari Najib seorang yang mudah percaya kepada insan lain.

Bekas Perdana Menteri itu juga selalu menaruh perasaan sangka baik dan mudah kasihan kepada orang.

Tapi malangnya, menurut beliau, bukan semua orang ikhlas dan berniat baik kepada Najib.

“Saya berharap pengorbanan ayahanda saya sehingga terpaksa dipenjarakan tidak disia-siakan oleh parti keramat ini.

“Saya dan keluarga perlu tabah dengan kejadian ini perlu kuat. Saya minta ahli UMNO dan penyokong kuat dan bangkit semula.

“Kita berjuang secara mutlak dan menawan Putrajaya kembali. Marilah kita bangkit dan membela pemimpin yang dizalimi,” katanya bersemangat.

Dalam ucapannya,  Mohamad Nizar tanpa berselindung tidak menyangka ayahnya akan masuk ke dalam penjara.

Hukuman yang dilalui ayahnya itu bagaikan satu tamparan kepada diri dan keluarganya.

Menurut beliau, nasib yang menimpa Najib bukan sahaja ditangisi oleh keluarga tetapi juga penduduk Pekan dan rakyat Malaysia.-MalaysiaGazette