Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Gabungan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan tiada apa-apa yang boleh dikemaskinikan mengenai permohonan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang buat masa ini.

Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak kerajaan tidak membuat apa-apa langkah mahupun menjemput mereka ke meja rundingan.

“Nak update macam mana sebab tidak ada apa-apa yang mereka (kerajaan) buat atau jemput kita untuk duduk (berbincang) dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata demikian mengulas pertanyaan MalaysiaGazette sama ada terdapat apa-apa perkembangan terkini mengenai peruntukan kepada pihaknya oleh kerajaan perpaduan.

Tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Fadillah Yusof ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat memberitahu rundingan peruntukan ahli Parlimen pembangkang secara individu masih lagi terbuka.

Katanya, rundingan secara kumpulan besar iaitu PN sudah tertutup namun mengalu-alukan sekiranya ada individu dari blok pembangkang mahu berunding dengan beliau.

Turut mengulas mengenainya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, kerajaan hanya memberikan peruntukan baharu kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan baru-baru ini.

“Menteri Wilayah (Dr Zaliha Mustafa) buat kenyataan bahawa peruntukan kepada mereka (ahli Parlimen Kerajaan), bukan kepada kita (pembangkang), katanya pada sidang media sama.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menjelaskan ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1.7 juta bagi kawasan Parlimen di Semenanjung dan RM2.2 juta bagi Sabah dan Sarawak.

Peruntukan khas Perdana Menteri itu diperoleh mereka sejak 2023 hingga tahun lalu.

Selasa lalu, Syed Saddiq Syes Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang mengakui terpaksa bersetuju untuk menjadi model sebagai usaha mendapatkan dana bagi menampung keperluan rakyat di kawasan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya memberi kata putus dan berhenti berteka-teki mengenai peruntukan tersebut dengan berterus terang mengenai perkara itu kepada umum.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan, beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Fadillah namun belum menunjukkan perkembangan positif. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. bukan takada inisiatif untuk pembangkang ..tapi itu lah yang kata bangkang ni seakan bangang menolak pada awal ..sekarang nk bising apa ..kenapa tolak walau ada syarat Pon..

Comments are closed.