Bojan Hodak.

KUALA LUMPUR – Kejayaan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) muncul juara Zon ASEAN di pentas Piala AFC membuktikan terdapat peningkatan kualiti pasukan di Liga Malaysia.

Menurut ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, beliau sememangnya berbangga menjadi sebahagian yang berjaya menaikkan imej Liga Malaysia di rantau Asia dan akan cuba membawa cabaran pasukan sejauh mungkin di pentas Piala AFC.

“Di peringkat Asia Tenggara, KL City telah tunjukkan kemampuan pasukan dari Liga Malaysia yang kami adalah terbaik selepas JDT mara ke peringkat saingan kalah mati Liga Juara-juara AFC.

“Saya rasa ini sesuatu yang positif untuk Liga Malaysia yang menunjukkan bola sepak di sini ada kemajuan dari saban tahun.

“Kami tidak letakkan jangkaan yang tinggi bagi kejohanan ini kerana kami merupakan sebuah pasukan yang bekerja keras dan di Malaysia, kami sebuah pasukan yang kecil sahaja serta bajet yang agak rendah.

“Tumpuan saya hanya dari satu ke satu perlawanan seperti mana dilakukan ketika bertemu Viettel di Vietnam, tiada siapa jangkakan kami mampu menang
di sana dan sama seperti hari ini ketika berdepan Makassar yang mengungguli kedudukan semasa saingan kumpulan.

” Saya belum pasti lagi siapa lagi yang akan ditemui sama ada pasukan dari India(ATK Mohun Bagan), Uzbekistan(Sogdiana Jizzakh) dan Hong Kong (Eastern), jadi
perjalanan kami masih jauh di Piala AFC,” katanya.

Dalam perlawanan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu, KL City beraksi cemerlang untuk menewaskan PSM Makassar dengan keputusan 5-2.

Ketua pasukan KL City, Paulo Josue meledak dua jaringan pada minit 52 dan 84 selain Romel Morales (minit 33), Jordan Mintah (45+2) dan Hadin Azman pada minit 90+4.

Pandangan sama turut disuarakan oleh penyerang KL City, Romel Morales, yang akui terdapat peningkatan ketara dalam mutu saingan Liga Malaysia sejak hadir bermain di sini sejak dari tahun 2018.

Justeru, situasi itu serba sedikit menaikkan kualiti persembahan tiap pasukan yang serba sedikit membantu kelab-kelab ketika bersaing di pentas AFC.

“Saya secara peribadi sangat gembira kerana bukan berjaya mendapatkan satu gol tetapi satu bantuan jaringan bagi memastikan pasukan menang serta mara ke peringkat seterusnya.

“Kami bekerja keras sepanjang musim ini walaupun permulaan yang sedikit perlahan di Liga Malaysia tetapi kami berjaya beraksi dengan baik di Piala AFC walaupun ini pembabitan tahun pertama kami dan bukannya mudah bermain di tahap sebegini.

“Secara tidak langsung, ini membuktikan Liga Malaysia semakin berdaya saing serta kualiti yang kian meningkat sejak saya datang ke sini.

“Malah, saya perhatikan semakin ramai pemain berbakat serta kehadiran pemain yang berpotensi mewarnai Liga Malaysia yang jadikan semua pasukan semakin kompetitif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast