KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi hanya membincangkan mengenai kesepaduan untuk mengukuhkan parti.
Seorang ahlinya, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, perbincangan berkisar tentang solidariti parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Ditanya mengenai pembubaran Parlimen dan tarikh PRU-15, Bung Moktar berkata, itu hak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Nada sama turut disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Malah beliau berkata, perbincangan turut mengarahkan kepada solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata, parti itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.
“Tiada kenyataan media selepas Mesyuarat MKT UMNO malam ini. Mungkin esok ada.
“Berita tentang UMNO sudah agak banyak selepas Taklimat Khas Presiden petang tadi di Dewan Merdeka,” katanya di Twitternya.
Ahmad berkata, mesyuarat berjalan dengan baik dan berakhir pukul 11.15 malam tadi.
Mesyuarat dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan kepimpinan parti lain.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi siang tadi berkata, mesyuarat akan membincangkan empat mandat utama.
Antaranya menyatakan tanda solidariti terhadap Najib serta memberikan sokongan terhadap kempen petisyen pengampunan diraja terhadap beliau.
Selain itu, UMNO turut bersedia untuk menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa dan berharap Ismail Sabri tidak akan membiarkan harapan Barisan Nasional untuk menang pudar sekiranya tarikh pilihan raya itu dilengah-lengahkan. – MalaysiaGazette