nasrudin hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas tidak perlu terikut-ikut dengan sikap parti lain yang terpaksa menghidupkan semangat perjuangan mereka dengan membelasah pihak lawan sepanjang masa.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sindir sinis dan caci maki silih berganti bagi menyegarkan sentimen pengikut mereka.

“Kita tidak perlukan itu semua. Bagi meningkatkan sokongan dan daya juang masyarakat, kita gunakan ‘bahasa dakwah’ yang berpaksi pada al-Quran dan as-sunnah sama ada dalam majlis ceramah mahupun di media sosial.

“Pastinya ia lebih sedap didengar oleh telinga, menghidupkan sanubari serta menumbuhkan keinsafan jauh di lubuk hati masyarakat.

“Politik kita seboleh-bolehnya adalah untuk menarik sokongan dan menjinakkan hati, bukan syok sendiri dan membuatkan masyarakat bertambah liar dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, beraksi di medan politik dakwah yang begitu luas sempadan dan buas cabarannya, memerlukan pejuang atau pendakwah yang teguh jati diri dan utuh peribadi.

Nasrudin menjelaskan, pejuang berjuang untuk mengangkat prinsip perjuangan Islam yang didukung manakala pendakwah pula menyeru manusia kembali kepada prinsip perjuangan Islam.

“Sifat dan sikap kita ialah memandu serta membimbing ummah ke jalan yang benar. Tika kita bertahaluf mahu pun bertafahum di pentas politik dengan siapa jua, kita wajib kekal dan cekal dengan budaya politik dakwah yang kita gagaskan.

“Kita bukan pak turut yang melurut segala prinsip perjuangan untuk membuntuti pihak lain semata-mata kerana ingin capai kepentingan politik tanpa memikirkan kedudukan Islam yang diperjuangkan selama ini,” jelasnya.

Menurut beliau, Pas bertanggungjawab memandu arah dan membimbing mereka agar berada di landasan perjuangan yang betul dan apa yang paling penting adalah tidak merugikan perjuangan Islam.

“Usah meniru gaya politik dan bahasa lidah parti lain justeru kita sudah mempunyai manhaj politik dakwah yang tersendiri berasaskan sunnah Nabi kita Muhammad SAW,” katanya. – MalaysiaGazette