KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata, Malaysia telah pun beberapa kali nyaris-nyaris merangkul emas di Kejohanan Badminton Dunia tetapi tidak kesampaian sejak tahun 1977.
Namun apa yang pelik katanya, 11 negara sudahpun digelar juara tetapi bukan Malaysia.
Malah ujar beliau, Sweden, Amerika Syarikt dan Singapura sudah pernah bergelar juara, tapi bukan negara kita.
“Tapi hari ini, sejarah sudah pun dibetulkan oleh Aaron-Wooi Yik apabila mempamerkan aksi yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Terima kasih Malaysia… Kita juara,” tulis di hantaran Facebook miliknya di sini.
Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya membuang badi tanpa gelaran namun mereka mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.
Kejayaan terbabit berjaya dilakar selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19,21-14, sekali gus menamatkan kemarau gelaran juara pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 terbabit sejak digandingkan pada 2017.
Mengikut rekod, Chong Wei antara pemain badminton Malaysia paling kerap beraksi di pentas final kejohanan dunia iaitu 2011,2013 dan kali terakhir 2015. – MalaysiaGazette