Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebagai seorang Islam yang amat kuat berpegang pada agamanya,dia  tidak akan sesekali menerima apa-apa daripada sumber haram untuk di salurkan kepada Yayasan Akalbudi yang diasaskan olehnya.

Yayasan Akalbudi milik Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib dan menjaga kebajikan golongan miskin.

Menurutnya, yayasan itu menyumbang amal jariah berjumlah lebih daripada RM109 juta.

Beliau berkata demikian ketika membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Kenyataan ini berkaitan sumbangan sebanyak RM10 juta kepada Yayasan Akalbudi daripada seorang ahli perniagaan Sarawak, Wong Sang Woo@Wong Shuh Chain yang merupakan Pengarah Chia Bee Enterprise Sdn Bhd.

Dakwa Ahmad Zaid, wang yang di terima daripada Sang Woo dan seorang lagi individu bernama Paul yang merupakan seorang ahli perniagaan dari Singapura sebenarnya dari sumber sah kerana kedua-dua mereka adalah rakan kongsinya.

“Saya ini orang Islam. Kalau saya tahu sumber wang itu adalah haram pastinya saya akan tolak awal-awal kerana itu adalah pegangan saya,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Hamidi Mohd Noh.

Sebelum ini, seorang Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mendedahkan kepada mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah menerima sumbangan sebanyak RM10 juta daripada Paul pada sebuah majlis makan malam.

Ahmad Zahid didakwa memberitahu, sumbangan wang itu sebenarnya untuk membantu golongan miskin dan yang amat memerlukan.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang sumbangan RM7.5 juta kepada Yayasan Akalbudi daripada Yayasan Al-Bukhary, katanya, dana itu derma daripada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang juga sumbangan politik, selain untuk jariah.

Ahmad Zahid sedang berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Prosiding sedang bersambung esok. – MalaysiaGazette