PH PTPTN
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pernah mencadangkan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC), kata Pemuda Pas.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan itu telah dibawa Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

“Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat di mana beliau menuntut supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru itu, kenyataan terbaharu Azalina bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melantik ‘orang beliau’ untuk memegang jawatan Peguam Negara jelas dilihat canggung.

“Menyatakan bahawa ‘setiap Perdana Menteri akan lantik AG orang dia’ adalah satu kenyataan yang membayangkan instituti pendakwaan dipengaruhi dan dikawal dengan jelas oleh Perdana Menteri.

“Ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini, seruan ini kelihatan kembali ke belakang,” katanya.

Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO pada Sabtu lalu, Azalina berkata, Ismail Sabri seharusnya menukar Peguam Negara dalam kalangan ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan pentadbiran beliau.

“Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, malah ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri,” katanya pada Sabtu. – MalaysiaGazette