Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) sambil ditemani Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kanan) berkenan hadir pada Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2022 di Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 29 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 (Floria Diraja) merupakan salah satu daripada produk ekonomi yang menjadi penyumbang penting kepada  sektor pelancongan negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, festival seperti itu mencetuskan pelbagai peluang perniagaan dan perkhidmatan meliputi pelbagai bidang.

Selain itu tambah beliau, Floria Diraja yang diadakan setiap tahun merupakan salah satu alternatif pelaburan yang menguntungkan negara dan rakyat.

“Penganjuran FLORIA Diraja Putrajaya setiap tahun dapat menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga- bungaan, landskap dan pelancongan sebagai satu daripada bidang ekonomi utama negara (NKEA) dan seterusnya memacu perkembangan industri ini sebagai satu alternatif pelaburan yang menguntungkan negara serta rakyatnya.

“FLORIA menjadi faktor penggalak pertumbuhan dan membantu dalam mempercepatkan transformasi industri bunga-bungaan, landskap dan agro-pelancongan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Floria Diraja yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir pada majlis, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya,  Datuk Fadlun Mak Ujud.

Mengulas lanjut Shahidan berkata, pada  masa ini Floria Diraja merupakan satu-satunya festival bunga dan taman di Malaysia yang menyediakan pakej pameran bunga serta pelbagai aktiviti yang sinonim dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Ia dapat menghimpun Rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat, budaya, kepercayaan dan kaum untuk turut serta dalam lebih 100 program dan aktiviti yang disediakan sepanjang tujuh hari festival ini berlangsung.

“Festival ini bertujuan untuk memupuk dan menyuburkan rasa cinta dan kasih rakyat serta pelawat kepada keindahan pelbagai warna bunga dan tumbuhan yang banyak berkaitan dengan kebudayaan dan nilai-nilai masyarakat Malaysia. Ia sekali gus membudayakan aktiviti landskap dan perkebunan sebagai satu gaya hidup sihat dan sejahtera,” katanya.

Floria Diraja yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya itu berlangsung selama seminggu bermula hari ini hingga 4 September depan.

Sebanyak, 10,000 pokok orkid dan lebih daripada 400,000 pokok daripada pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan dipamerkan pada Floria Diraja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast