Peguam, Datuk Zaid Ibrahim (kanan) hadir ke Mahkamah Persekutuan pada hari pertama prosiding rayuan akhir yang melibatkan anak guamnnya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn diminta memohon maaf dan menarik balik kenyataan medianya yang membabitkan pasukan peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Karen berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian.

Barisan peguam mewakili Najib, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam melalui surat yang dikeluarkan firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners bertarikh 26 Ogos lalu menuntut Karen menarik balik kenyataan itu.

Karen juga diminta memhon maaf sebelum 2 September ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Melalui surat tuntutan itu, tiga peguam terbabit mendakwa kenyataan media Karen yang diterbitkan pada 19 Ogos lalu secara palsu dan berniat jahat mengandungi kenyataan berhubung kelakuan mereka ketika rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan.

Menurut barisan peguam itu, beberapa perenggan dalam kenyataan media itu didakwa secara membuta tuli tidak mempedulikan sama ada tuduhan dilemparkan itu benar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerima memorandum daripada Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah pada Himpunan Mempertahankan Kebebasan Mahkamah anjuran Badan Peguam di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JUN 2022.

Malah perenggan itu mencadangkan bahawa peguam terbabit didakwa bertindak secara tidak profesional, menyalahgunakan proses mahkamah serta menggunakan strategi tidak berprinsip untuk menyeleweng sistem keadilan dan mencemarkan maruah kerjaya undang-undang, ujar mereka.

“Tindakan peguam didakwa secara terang-terangan menghina mahkamah dan tidak sesuai diamalkan oleh peguam bela serta peguam cara.

“Karen juga perlu berjanji tidak mengulangi kenyataan sedemikian, selain menuntut pampasan kos dan perbelanjaan yang munasabah,” kata kenyataan itu.

Firma guaman Mohd Zaid dilantik untuk menggantikan Shafee & Co sebagai peguam cara dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan, dengan Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 25 Julai lepas.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penangguhan rayuan akhir oleh Najib selain mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International. – MalaysiaGazette