KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) yakin dapat memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus menubuhkan kerajaan baharu, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, sekiranya GTA memerintah negara, kerajaan yang baharu akan membersihkan pemimpin yang mengamalkan kleptokrasi.
Menurut beliau, apa yang penting perpaduan parti komponen GTA perlu bersatu padu bagi mendapat undi yang besar dalam PRU nanti.
“Kita tidak boleh berlawan sesama kita. Semua kita daripada parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan kita semua akan sokong calon GTA.
“Kalau kita ada empat parti kita berlawan sesama kita, masing-masing sokong parti mereka sendiri, kita hanya dapat undi sikit dan tak dapat kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sempena Hari Kemerdekaan Ke-65 di Hotel Grand Barakah anjuran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di sini malam ini.
Pada 4 Ogos lepas, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA, sebuah gabungan yang bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi dan akan meletakkan calon di 120 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia khususnya yang mempunyai majoriti kaum Melayu.
Buat permulaan, GTA disertai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Putra dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sementara itu, nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menjadi sebutan di bibir Mahathir walaupun Ahli Parlimen Pekan itu telah dipenjarakan.
Mahathir berkata, budaya orang Melayu telah berjaya dihakis oleh Najib yang juga bekas Presiden UMNO.
Jelas beliau, Najib juga telah berjaya menukar pandangan orang Melayu walaupun melakukan kesalahan.
“Orang dulu malu dan tutup muka kalau buat salah.
“Apa nak malu bossku, mencuri tidak malu dan pengikut pun mencuri,” katanya. – MalaysiaGazette