Foto Instagram Ifa Raziah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dangdut, Ifa Raziah mencuri perhatian netizen gara-gara membawakan lagu bergenre R&B secara siaran langsung dalam program Terpaling Juara terbitan TV3 malam tadi.

Penyanyi berusia 47 tahun itu menyanyikan lagu berjudul Di Pintu Syurga nyanyian asal Dayang Nurfaizah.

Bagaimanapun, tular sebahagian baris nyanyian oleh Ifa di platform TikTok telah menarik perhatian warganet.

Menerusi video dimuat naik oleh pengguna media sosial itu, pemilik nama Saripah Raziah  Mustapha yang mengenakan busana serba putih sedang menyanyi sebahagian lirik lagu itu.

Ramai meluahkan rasa terkejut dan lucu apabila mendengar suara nyanyian Ifa dikatakan ‘indah khabar dari rupa’ selain mempersoalkan pengalamannya sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni.

Mereka turut menyamakan suara Ifa dengan usahawan kosmetik kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida.

Namun menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Vida mengakui lagu tersebut sememangnya amat sukar untuk dibawa kerana ia bermain dengan emosi.

Ifa berkata, ketika persembahan tersebut dia terbayang akan ibu dan ayahnya yang sudah pergi dijemput Ilahi termasuklah rakannya, Rudy Imran iaitu penulis lirik lagu tersebut.

Selain Ifa, penyanyi Hazami dan Rahmad Mega tidak ketinggalan menyertai program nyanyian Terpaling Juara. – MalaysiaGazette