PUTRAJAYA – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli merasmikan Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 (Floria Diraja) yang membuka tirainya hari ini.
Ketika majlis berkenaan, Raja Permaisuri yang sempat bertitah beberapa minit menyuarakan hasrat untuk menanam lebih banyak bunga-bunga di Istana Negara.
“Beta memang suka bunga dan tanam sayur semasa Covid-19, dua tahun saya ‘dikunci’ di Istana Negara macam dalam penjara jadi beta dengan semua warga Istana sempat berkempen bertanam sayur di belakang Istana.
“Sehingga sekarang kebun masih ada cuma mungkin kerana kesibukan kurang kami pergi ke kebun, kami (beta dan warga Istana Negara) berhasil rasa hasil tanaman seperti timun, kangkung, bayam, kacang botol, jagung, bayam brazil dan macam-macam jenis lagi.
“Beta seru warga Istana untuk kita kembali ke kebun dan mungkin lepas ini kita tanam bunga-bunga pula,” Raja Permaisuri bertitah.
Tuanku turut mengalu-alukan kedatangan pelancong daripada dalam dan luar negara ke Floria Diraja yang bermula hari ini sehingga 4 September nanti.
Turut hadir pada majlis perasmian Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin bin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Permaisuri Agong turut meluangkan masa melawat Floria Diraja yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan.
Selain itu, baginda juga berkenaan menerima bunga orkid daripada Perbadanan Putrajaya.
Bertemakan ‘Floria Hebat’, orkid merupakan bunga tema bagi Festival Diraja pada tahun ini.
Kira-kira 10,000 pokok orkid dan lebih 400,000 pokok daripada pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan dipamerkan pada Floria Diraja.-MalaysiaGazette